KOTA KINABALU: Keluarga kepada mangsa bunuh di sebuah pusat beli-belah, di sini, pada 29 Mei lalu, hari ini, membuat laporan polis kerana tidak puas hati dengan tindakan pihak berkuasa dalam menangani laporan dibuat mereka sebelum pembunuhan itu berlaku.
Peguam mewakili keluarga mangsa, Nabila Norsahar berkata, laporan polis itu dibuat ibu mangsa, Datuk Siti Aminah Jabarhan di Balai Polis Karamunsing, kira-kira jam 12.30 tengah hari tadi.
Katanya, keluarga mangsa telah membuat laporan polis pada 28 Mei lalu selepas tertuduh dalam kes itu, Chung King Fung, 32, dipercayai telah memarahi mangsa termasuk mengugut untuk memukulnya.
“Sehari sebelum kejadian iaitu pada 28 Mei, keluarga dan mangsa telah pun membuat laporan polis berkenaan dengan ugutan dan “harassment” daripada tertuduh.
“Tertuduh berbuat demikian kerana dia tidak puas hati mahu diputuskan hubungannya dengan mangsa, laporan polis telah dibuat namun tiada tindakan susulan dan malangnya pada keesokkan harinya, berlaku kejadian yang tidak disangka, kejadian kematian Nurul Ain (mangsa),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di perkarangan Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu, di sini, hari ini.
Sementara itu, Siti Aminah berkata, beliau menyerahkan kepada peguamnya untuk mengendalikan kes itu selain akan memberikan kerjasama sebaik mungkin kepada pihak polis.
Bagaimanapun beliau sedikit kecewa kerana mereka langung tidak diberikan ‘panduan’ selepas dia dan mangsa membuat laporan polis sehari sebelum kejadian bunuh itu.
“Kami serahkan kepada peguam saya dan serahkan kepada pihak polis, cuma di sini saya kecewa lah kerana pihak polis kalau pun mereka tidak mengambil tindakan, sekurang-kurangnya mereka menasihati kami.
“Nasihati saya sebagi ibunya, beritahu apa yang kami perlu buat bagi mengelak perkara ini (pembunuhan) berlaku,” katanya.
Dalam pada itu juga, pihak keluarga mangsa memohon supaya perbicaraan kes itu dijalankan secara telus dan efisyen.
“Kami ingin memohon kes perbicaraan untuk kes ini dijalankan perbicaraannya secara telus dan efisyen dengan pantas kerana kita ingin membela nasib anak muda yang baru berusia 22 tahun yang telah ditikam sebanyak sembilan kali,” kata Nabila yang mewakili keluarga mangsa.
Sementara itu, tertuduh dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini kerana didakwa membunuh Nurul Ain Silien di kedai Polar Ice Cream, Lot B-48, Basement 1, Jesselton Mall, Jalan Haji Saman, di sini, pada 29 Mei, antara jam 12 hingga 12.20 tengah hari.
Bagaimanapun, tiada pengakuan diambil daripada tertuduh Chung selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Lovely Natasha Charles.
Pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika disabitkan kesalahan.
Mahkamah juga menetapkan 11 Julai depan untuk sebutan semula kes itu sementara menunggu laporan bedah siasat dari pihak hospital serta laporan data asid deoksiribonukleik (DNA) dan forensik dari Jabatan Kimia. – Info X