KOTA KINABALU: Kelulusan Rang Undang-Undang (RUU) Profesion Kerja Sosial 2026 di Dewan Rakyat disifatkan satu pengiktirafan bersejarah yang bakal menstruktur semula landskap kebajikan dan khidmat kemanusiaan negara.
Pakar Kerja Sosial Fakulti Psikologi dan Kerja Sosial, Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof Madya Dr Peter Voo, yang menyambut baik kelulusan itu menyifatkannya sebagai satu anjakan penting ke arah profesionalisme bidang berkenaan.
Beliau berkata, pelaksanaan Pendaftaran Pengamal Kerja Sosial akan membawa impak serampang dua mata yang amat kritikal bagi pasca-pandemik dan pengurusan isu komuniti semasa.
“Sistem pendaftaran ini bukan sahaja mengiktiraf kepakaran pekerja sosial, malah fungsi standardisasi dan pengawalseliaan di bawah akta baharu ini bertindak sebagai benteng perlindungan undang-undang.
“Ia melindungi keselamatan pekerja sosial daripada risiko tugas serta menjamin hak dan privasi penerima perkhidmatan (klien) daripada sebarang bentuk eksploitasi oleh individu tidak bertauliah,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.
Sejajar dengan perkembangan itu, Peter menzahirkan penghargaan dan syabas kepada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), terutama Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri atas kelulusan RUU berkenaan.
Katanya, komitmen jitu Nancy dalam mengemudi siri libat urus dan mempertahankan keperluan akta itu di Parlimen amat luar biasa.
“Usaha murni beliau berjaya mengangkat martabat profesion kerja sosial di Malaysia agar setaraf dengan bidang profesional perundangan dan perubatan,” katanya.
Melalui penguatkuasaan akta itu nanti, Peter berkata Fakulti Psikologi dan Kerja Sosial UMS komited untuk terus menyokong hasrat kerajaan dengan melahirkan graduan dan pengamal kerja sosial yang kompeten, beretika dan memenuhi piawaian kompetensi kebangsaan demi kesejahteraan masyarakat mampan. – Info X