Search

Kemajuan Projek LPB dipantau rapi, jika lewat ada kos perlu ditanggung – Salleh

June 23, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Setiap kelewatan terhadap Projek Lebuhraya Pan Borneo (LPB) membawa kos kepada kerajaan, selain menangguhkan manfaat yang sepatutnya dinikmati rakyat.

Ketua Merinyu Projek Kerajaan Negeri, Datuk Seri Salleh Said Keruak, berkata atas sebab itu beliau menegaskan komitmennya untuk terus memantau secara rapi pelaksanaan projek berkenaan.

Katanya, setakat ini beberapa pakej utama projek LPB Sabah menunjukkan kemajuan memberangsangkan dan berada di landasan yang betul untuk mencapai sasaran penting tahun ini.

“Saya amat teruja dengan kemajuan yang dicapai setakat ini. Pakej Kerja (WP) 3, 4, 10 dan 29 berada di landasan yang tepat untuk memperoleh Sijil Siap Sebahagian (CPC) pada tahun ini,” katanya selepas lawatan tapak Projek LPB bersama pegawai Jabatan Kerja Raya (JKR), kontraktor dan agensi berkaitan.

Bekas Ketua Menteri itu berkata, satu pencapaian penting direkodkan di bawah WP4 apabila jajaran baharu empat lorong dua hala antara Jejambat Bongawan dan Jejambat Benoni dibuka kepada pengguna pada 15 Jun 2026.

Katanya, laluan baharu itu dijangka meningkatkan kelancaran trafik dan keselamatan pengguna jalan raya.

Sementara itu, katanya kontraktor pakej WP6 dan WP7 dijangka menyiapkan skop kerja asal masing-masing, memperoleh status CPC dan membuka laluan dari Jejambat Putatan ke Persimpangan Bertingkat Sepanggar menjelang Oktober depan.

“Lima lagi pakej di bawah Fasa 1A dijadualkan siap antara 2027 hingga 2028.

“Walaupun kemajuan yang dicapai adalah memberangsangkan, tidak sepatutnya ada ruang untuk kelewatan yang boleh dielakkan,” katanya.

Beliau menegaskan kelewatan projek bukan sahaja meningkatkan kos pembinaan, malah melambatkan manfaat ekonomi dan sosial yang sepatutnya diterima oleh rakyat.

“Setiap kelewatan ada kos. Ia meningkatkan perbelanjaan projek dan menangguhkan manfaat pembangunan yang sepatutnya dinikmati rakyat Sabah,” katanya.

Sebagai Ketua Merinyu Projek Sabah, Salleh berkata beliau akan terus bekerjasama rapat dengan semua pihak berkepentingan bagi memastikan pelaksanaan projek berjalan mengikut jadual dan sebarang isu yang menjejaskan kemajuan dapat ditangani dengan segera.

“Jadual sudah ditetapkan. Sasaran sudah diketahui. Rakyat Sabah mengharapkan hasil. Tanggungjawab kita adalah memastikan setiap pakej disiapkan mengikut jadual,” katanya. – Info X