KOTA KINABALU: Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Hajiji Noor menyifatkan penyertaan beberapa wakil rakyat ke dalam parti berkenaan akan membantu kerajaan negeri untuk terus fokus kepada perpaduan yang jitu.
Katanya, beliau mengalu-alukan kemasukan wakil rakyat ke dalam Gagasan Rakyat kerana ia juga menjadi satu usaha untuk memajukan dan memberi khidmat kepada rakyat di kawasan masing-masing.
“Memang ada diterima (permohonan), itu hak mereka untuk menentukan pendirian dan masa depan politik mereka.
“Jadi bagi saya, kita mengalu-alukan penyertaan mereka kerana kita mahu memberi fokus kepada satu perpaduan yang jitu,” katanya kepada media, di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai status terkini permohonan daripada bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari Umno dan Warisan yang menyatakan pendirian untuk menyertai Gagasan Rakyat sebelum ini.
Sementara itu, Hajiji enggan memberi sebarang komen mengenai keputusan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) yang menyatakan menyokong semula kepada kepimpinan beliau. – Info X