Search

Kemuka tuntutan palsu Penjana RM550,000, dua pemilik syarikat ditahan

May 16, 2023

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan dua individu daripada dua syarikat berbeza kerana mengemukakan borang pengesahan pekerja palsu yang mengandungi senarai nama-nama pekerja yang tidak wujud.

Menurut sumber, dokumen tuntutan berjumlah RM550,000 itu bagi tujuan menuntut dan mendapatkan peruntukan di bawah program Pelan Jana Semula Ekonomi (Penjana) daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

“Suspek lelaki yang juga pemilik syarikat berusia lingkungan 30 tahun mengemukakan tuntutan palsu kira-kira lebih RM400,000 pada tahun 2020 hingga tahun 2022.

“Manakala suspek wanita berusia lingkungan 50 tahun iaitu pemilik syarikat berkaitan pengangkutan itu pula mengemukakan tuntutan palsu berjumlah lebih RM150,000 pada tahun 2020 hingga 2023,” katanya.

Kedua-dua suspek dihadapkan di Mahkamah Majistret 3, Kota Kinabalu, di sini, pagi tadi.

Majistret Stephanie Sherron Abbie kemudian membenarkan permohonan reman selama lima hari bermula esok sehingga 21 Mei 2023.

Sementara itu, Pengarah Kanan Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim ketika dihubungi mengesahkan penahanan berkenaan.Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan. – Info X