KOTA KINABALU: Jawatankuasa Tindakan Mahkamah Anak Negeri Sabah (SACOM) menyeru semua Ketua Adat di Sabah agar menjadikan usaha kerajaan menaikkan kadar elaun bulanan sebagai wadah untuk memberi perkhidmatan terbaik kepada masyarakat.
Pengerusinya, Datuk Stephen Sondoh berkata, seluruh anggota Ketua Adat di negeri ini perlu meletakkan fokus kepada intipati pelarasan elaun berkenaan.
Katanya yang juga Ketua Adat Putatan, langkah itu juga selaras dengan aspirasi kerajaan negeri menerusi pelaksanaan konsep Sabah Maju Jaya (SMJ).
Beliau berkata, pihak SACOM juga merakamkan penghargaan kepada Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor atas pengumuman pelarasan elaun serta pengiktirafan Ketua-Ketua Adat di negeri ini.
“Bagi pihak SACOM dan semua 3,963 Ketua Adat di Sabah, pengumuman mengenai perkara ini adalah tepat pada masanya dan amat dinanti-nantikan.
“Terima kasih juga kepada Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Panglima Dr Joachim Gunsalam yang membawa dan membentangkan isu kenaikan elaun ini di Kabinet,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Pada masa sama, beliau juga merakamkan penghargaan kepada warga kerja Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Jabatan Hal Ehwal Anak Negeri dan Majlis Hal Ehwal Anak Negeri Sabah atas kerjasama dengan pihak SACOM dalam penyediaan kertas kerja pelarasan elaun berkenaan sehingga ia diluluskan.
“Syabas kepada penjawat awam yang secara langsung terlibat dalam usaha ini,” katanya.
Semalam Ketua Menteri mengumumkan seramai 3,963 pemimpin masyarakat (Ketua Adat) di Sabah akan mendapat purata 48 peratus kenaikan elaun bulanan mulai September tahun ini.
Langkah itu sebagai pengiktirafan kedudukan terhormat Ketua Adat dalam masyarakat, termasuk peranan mereka sebagai hakim di Mahkamah Anak Negeri (MAN) dan menampung perbelanjaan ketika menghadiri mesyuarat, kursus dan majlis rasmi di luar daerah. – Info X