KOTA KINABALU: Polis dan pihak berwajib perlu diberi ruang untuk menyiasat insiden dua beranak maut apabila kenderaan dinaiki mereka dihempap kontena di Jalan Sepanggar, dekat Pelabuhan Sepanggar, di sini, petang semalam.
Ahli Parlimen Sepanggar, Datuk Mustapha Sakmud, berkata siasatan menyeluruh perlu dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian, termasuk aspek keselamatan pengendalian kontena.
Katanya, langkah itu bagi memastikan langkah sewajarnya dapat diambil demi menjamin keselamatan awam dan mengelakkan tragedi seumpama itu berulang.
“Jika ada elemen kecuaian dan ‘non-compliance’ yang melibatkan mana-mana pihak, saya akan pastikan mereka yang terlibat dipertanggungjawabkan.
“Cukuplah insiden kemalangan melibatkan kenderaan berat ini daripada berulang di Sepanggar,” katanya dalam satu kenyataan, di sini pada Isnin, berhubung insiden kemalangan yang berlaku pada kira-kira jam 6.15 petang itu.
Mustapha yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), berkata sebagai seorang ayah, beliau amat sedih mendengar berita kemalangan itu.
“Luluh hati saya apabila menerima perkhabaran mengenai tragedi yang meragut nyawa dua beranak, Allahyarham Mohd Jadi Pelbi, 53 tahun, dan anak perempuannya, Allahyarhamah Norfaieza Mohd Jadi, 24 tahun, selepas kenderaan dinaiki mereka dihempap sebuah kontena di Jalan Sepanggar, berhampiran Pelabuhan Sepanggar, petang semalam.
“Tidak dapat saya bayangkan betapa pilunya perasaan ahli keluarga yang kehilangan dua insan tersayang secara serentak dalam kejadian yang begitu menyayat hati.
“Saya merakamkan ucapan takziah dan simpati yang sedalam-dalamnya kepada seluruh keluarga mangsa. Semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh kedua-dua Allahyarham dan Allahyarhamah serta memberikan kekuatan kepada keluarga yang ditinggalkan,” katanya.
Katanya, beliau juga meminta pihak Pusat Khidmat Parlimen Sepanggar (Suara Sepanggar) untuk menziarahi keluarga mangsa bagi mengenal pasti keperluan mereka, termasuk membantu menyemak serta menguruskan sebarang bentuk bantuan dan pampasan yang layak diterima oleh waris.
“Dalam saat yang sukar ini, keutamaan kita adalah memastikan keluarga mangsa mendapat pembelaan dan sokongan sewajarnya,” katanya.
Berdasarkan kenyataan polis, seorang pemandu treler berusia 49 tahun sudah ditahan bagi membantu siasatan berhubung tragedi berkenaan.
Dalam kejadian kira-kira jam 6.15 petang itu, Mohd Jadi Pelbi, 53, bersama anak perempuannya, Norfaieza Mohd Jadi, 24, meninggal dunia selepas Toyota Avanza dinaiki mereka dihempap kontena yang hilang keseimbangan ketika kerja memunggah muatan.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Shahrudin Mat Husain berkata, siasatan awal mendapati lori kontena jenis Hino berkenaan berhenti di lorong kiri jalan untuk menjalankan kerja memunggah kontena yang diletakkan di bahu jalan.
Katanya, ketika kejadian, pemandu treler terbabit sedang menaikkan kontena berkenaan ke atas treler, manakala Toyota Avanza yang dipandu mangsa melalui lorong kanan jalan menghala ke Pelabuhan Sepanggar.-Info X