Search

Keningau, Tenom paling ‘panas’ hari ini

April 1, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Keningau dan Tenom merekodkan suhu maksimum antara 35 hingga 37 darjah Celsius hari ini, menjadikan kedua-dua daerah itu disenaraikan pada tahap berjaga-jaga berikutan cuaca panas dan kering ketika ini.

Berdasarkan maklumat dikongsikan di laman Facebook Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), hari ini, suhu itu diramal boleh berpanjangan sekurang-kurangnya selama tiga hari berturut-turut.

Dua daerah itu adalah antara 12 kawasan di seluruh negara, termasuk Limbang di Sarawak dan sembilan lokasi di Semenanjung disenaraikan mengalami suhu tahap berjaga-jaga.

Sebelum ini, daerah Beaufort pernah diletakkan dalam senarai kawasan yang mengalami gelombang haba dengan suhu mencecah antara 37 hingga 40 darjah Celsius.

Sementara itu, ramalan MetMalaysia menunjukkan beberapa daerah di kawasan pedalaman Sabah, khususnya Sipitang, Beaufort dan Kuala Penyu, selain Tawau di pantai timur mengalami ribut petir, hujan lebat dan angin kencang malam ini.

Keempat-empat daerah itu adalah antara kawasan mengalami kesan kemarau yang serius berikutan ketiadaan hujan selama beberapa minggu.

Bagaimanapun, hujan dilaporkan mula berlaku sejak akhir minggu lalu kesan operasi pembenihan awan yang dilaksanakan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dengan kerjasama MetMalaysia dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), khususnya di Tawau, Lahad Datu dan Papar. – Info X