KOTA KINABALU: Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Noor menyifatkan, keputusan kabinet persekutuan untuk mendedahkan laporan siasatan akhir nahas ‘Double Six’ sebagai satu kelegaan.
“Ini melegakan kerana ia akan merungkai apa yang sebenarnya berlaku pada hari itu (6 Jun 1976). Satu kelegaan bukan sahaja kepada keluarga mereka yang terkorban dalam nahas pesawat tetapi juga kepada rakyat Sabah.
“Kerajaan negeri juga akan menerima apa sahaja penemuan dalam laporan itu nanti dengan hati yang terbuka,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan akan mendedahkan laporan siasatan persekutuan kepada umum mengenai nahas pesawat 1976 yang mengorbankan 11 orang, termasuk ketua menteri Sabah ketika itu Allahyarham Tun Fuad Stephens.
Katanya, kerajaan memahami keresahan ahli keluarga mangsa terbabit dan tuntutan rakyat Sabah selama 47 tahun yang mahu mengetahui tragedi mengakibatkan pemimpin utama negeri itu terkorban.
Beliau, keputusan kerajaan menghebahkan atau dinyahklasifikasi laporan tersebut sebagai tanda keterbukaan dan ketelusan yang diamalkan Kerajaan Perpaduan. – Info X