TAWAU: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan tindakan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick, untuk meletakkan jawatan daripada Kabinet sebagai satu keputusan yang agak terburu-buru.
Anwar berkata, keputusan berhubung sama ada kerajaan akan merayu atau tidak terhadap penghakiman Mahkamah Tinggi berkaitan tuntutan 40 peratus hasil Sabah masih belum dimuktamadkan oleh Jemaah Menteri.
“Peguam Negara baru sahaja merujuk perkara ini tiga hari lalu. Mesyuarat Jemaah Menteri akan diadakan esok (Selasa) untuk meneliti dan memuktamadkan pendirian kerajaan,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Jelajah Malaysia Digital Sabah di Pasar Taman Semarak, di sini, hari ini.
Anwar berkata, kerajaan tidak boleh membuat keputusan tergesa-gesa kerana setiap langkah perlu mengikut proses perundangan yang betul.
“Pandangan peribadi saya cenderung untuk elak daripada merayu… appeal itu sudah saya jelaskan.
“Tapi kita kena dengar dulu penjelasan Peguam Negara, baca dulu penghakiman yang baru diterima tiga hari lalu,” katanya.
Beliau berkata, sebagai pemimpin, tindakan yang diambil tidak boleh dipengaruhi sentimen atau tekanan politik semasa.
“Kadang-kadang, kerana desakan dan kempen berasaskan sentimen, kita jadi panik. Tapi sebagai kerajaan, kita mesti berpaksikan fakta dan undang-undang.
“Saya faham keresahan rakyat Sabah, tapi prosesnya mesti dilalui,” katanya
Anwar turut menegaskan bahawa kerajaan MADANI kekal komited terhadap pelaksanaan dasar berasaskan undang-undang serta memastikan peruntukan kepada Sabah lebih terjamin berbanding sebelum ini. – Info X