KOTA KINABALU: Seorang daripada pelajar sebuah sekolah menengah di Pitas, yang keracunan metanol selepas dipercayai meminum minuman bercampur ‘spirit’ meninggal dunia, pada Rabu lalu.
Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS), Dr Asits Sanna berkata, pelajar terbabit meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth 1 (QEH1) disebabkan kegagalan pelbagai organ.
“Seorang lagi pelajar masih memerlukan bantuan pernafasan di ICU QEH2.”Seramai 25 pelajar lagi telah discaj daripada rawatan hospital,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, keputusan sampel proxy untuk ujian peratus metanol disahkan mengandungi 89 peratus kandungan metanol oleh Jabatan Kimia Malaysia, Kota Kinabalu, pada 12 Jun lalu.
“Sehingga jam 10 pagi semalam, jumlah notifikasi mangsa disyaki keracunan metanol yang diterima adalah sebanyak 48 notifikasi.
“Daripada jumlah itu, seramai 27 pelajar telah diklasifikasikan sebagai kes yang disahkan keracunan metanol berdasarkan kepada keputusan makmal,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berkata, pihaknya ingin menegaskan dan menasihati orang ramai berkenaan bahayanya mengambil minuman beralkohol yang tidak sah dan tercemar.
“Sekirannya mengalami tanda-tanda keracunan metanol seperti sakit perut, muntah, sakit kepala atau kabur penglihatan selepas mengambil minuman beralkohol, sila dapatkan rawatan segera di fasiliti kesihatan yang terdekat,” katanya.
Terdahulu, seramai 27 pelajar lelaki di sebuah sekolah menengah di Pitas dimasukkan ke hospital akibat keracunan metanol selepas dikatakan minum minuman bikarbonat dan cecair spirit hingga menyebabkan keracunan.
Daripada jumlah itu, dua pelajar kritikal dan menerima rawatan di ICU QEH1. – Info X