KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor menzahirkan kebimbangan kerajaan negeri terhadap penahanan dua anak Sabah, Zizi Kirana dan Sul Aidil yang menyertai misi kemanusiaan ke Gaza.
Menerusi perkongsian di Facebook beliau, Hajiji bagaimanapun menyatakan keyakinannya terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Luar dalam usaha membebaskan mereka.
“Kerajaan Negeri Sabah amat prihatin dan menzahirkan rasa kebimbangan terhadap penahanan saudari Zizi Kirana dan saudara Sul Aidil, anak Sabah yang menyertai misi kemanusiaan ke Gaza. Keberanian mereka amat membanggakan kita semua.
“Kerajaan Negeri yakin YAB Perdana Menteri bersama YB Menteri Luar Negeri akan mencari dan mengambil langkah diplomatik terbaik dalam membantu pembebasan segera semua sukarelawan yang terlibat.
“Saya menyeru seluruh warga Sabah, tanpa mengira latar belakang agama, bangsa, dan politik agar bersatu dalam memberikan solidariti terhadap perkara ini.
“Doa kita mengiringi keselamatan dan pembebasan mereka yang berjuang atas nama kemanusiaan,” katanya.
Berdasarkan laporan Berita Harian, Zizi dan Sul Aidil adalah antara 12 rakyat Malaysia ditahan tentera Israel selepas kapal kemanusiaan yang disertai mereka dipintas di perairan antarabangsa, awal pagi tadi.
Mereka menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) untuk membantu rakyat Gaza. – Info X