Search

KERAJAAN GRS-BN AKAN TERUS LINDUNGI KEBEBASAN AGAMA

June 14, 2022

admin

KOTA KINABALU: Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah-Barisan Nasional (GRS-BN) akan terus menegakkan serta melindungi kebebasan agama di negeri berkenaan, seperti yang termaktub dalam Perlembagaan.

Ketua Menteri Datuk Hajiji Noor berkata, kerajaan negeri sentiasa berusaha mengekalkan hubungan yang baik dan mesra dengan semua badan agama di negeri ini.

“Menghormati kepercayaan (agama) antara satu sama lain, sentiasa menjadi tonggak kekuatan dan perpaduan kita di Sabah.

“Walaupun berbeza agama dan bangsa, kita di Sabah dapat hidup bersama dalam keadaan aman dan harmoni selama ini, justeru, kita mesti melindungi ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menerima kunjungan hormat daripada Uskup Anglikan Diosis Sabah, Melter Jiki Tais dan rombongan di pejabatnya , di Menara Kinabalu, di sini, hari ini.

Hajiji berkata, Kerajaan GRS-BN juga komited dan meneruskan pemberian bantuan kewangan kepada badan-badan keagamaan bukan Islam dan sekolah-sekolah bukan Islam di negeri ini.

Katanya, dalam Belanjawan Sabah 2022, jumlah peruntukan yang diluluskan untuk pemberian bantuan kewangan bagi badan-badan keagamaan bukan Islam ialah sebanyak RM27 juta.

“Setakat Mei 2022, sekolah-sekolah bukan Islam yang menerima bantuan kewangan melalui peruntukan khas Ketua Menteri ialah sejumlah RM 2.4 juta.

“Manakala badan-badan keagamaan bukan Islam yang menerima bantuan kewangan melalui peruntukan khas saya, setakat Mei 2022 ialah sebanyak RM 1.73 juta.

“Secara peribadi, saya juga datang daripada keluarga berbilang kaum dan agama serta mengamalkan prinsip hormat menghormati dalam keluarga,” katanya

Dalam pada itu, Hajiji yang juga pengerusi GRS mengucapkan terima kasih atas penghormatan dan jemputan sebagai
tetamu kehormat pada majlis kesyukuran ulang tahun ke-60 Anglikan Diosis yang akan diadakan pada 31 Ogos. – Info X