KOTA KINABALU: Kerajaan negeri kekal komited menjadikan sektor agromakanan sebagai pemacu penting bagi memperkukuh ekonomi negeri dan meningkatkan kesejahteraan rakyat.
Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Kewangan negeri, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata pembangunan sektor pertanian, perikanan dan perindustrian makanan perlu terus diberi keutamaan bagi memastikan bekalan makanan mencukupi serta menyokong pertumbuhan ekonomi negeri.
Beliau berkata, kerjasama erat antara kementerian dan agensi berkaitan perlu diperkukuh supaya setiap perancangan dapat diterjemahkan kepada pelaksanaan yang berkesan.
“Oleh yang demikian, Kerajaan Negeri Sabah kekal komited menjadikan sektor agromakanan sebagai pemacu penting dalam memperkukuh ekonomi negeri dan meningkatkan kesejahteraan rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian pada perjumpaan khas bersama Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan negeri (MAFFI), Datuk Jamawi Jaafar bagi membincangkan perkara-perkara keutamaan kementerian berkenaan, di sini, baru-baru ini.
Masidi berkata, perbincangan berkenaan meneliti status semasa pelaksanaan projek-projek di bawah MAFFI, selain mengenal pasti perkara yang memerlukan perhatian dan tindakan lanjut.
“Penyelarasan antara MAFFI dan Kementerian Kewangan (MOF) Sabah penting bagi memastikan perkara yang dikenal pasti dapat dilaksanakan secara teratur serta memberi manfaat kepada rakyat,” katanya. – Info X