Search

Kerajaan komited kesaksamaan, keadilan rakyat berbilang kaum – Hajiji

September 16, 2023

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, kerajaan negeri sentiasa komited kepada kesaksamaan dan keadilan untuk membantu rakyat berbilang kaum serta agama di Sabah.

Katanya, ia termasuk memastikan kebebasan beragama seperti yang termaktub dalam perlembagaan, terus dipertahankan.

Katanya, menghormati kepercayaan antara satu sama lain akan terus menjadi tonggak kekuatan dan perpaduan di Sabah.

Menurutnya, kerajaan juga sentiasa menyokong sekolah dan badan keagamaan bukan Islam untuk memastikan keperluan mereka dipenuhi, termasuk terus memberikan bantuan untuk memastikan perpaduan, keharmonian kaum dan toleransi beragama yang kukuh terus diutamakan.

Beliau berkata, selain bantuan kepada sekolah, kerajaan negeri juga prihatin terhadap keperluan pembangunan dan pembaikan badan keagamaan bukan Islam di Sabah.

Hajiji berkata, tahun lalu (2022) kerajaan negeri telah menyalurkan sejumlah RM20.8 juta untuk gereja-gereja di Sabah, melibatkan 16 buah denominasi gereja, RM5.8 juta untuk 152 buah Tokong dan RM400,000 untuk 10 buah kuil Hindu/Sikh.

“Semoga dengan bantuan kewangan yang diagihkan atas keprihatinan kerajaan negeri ini, dapat sedikit sebanyak meringankan beban dalam membangun dan membaiki rumah ibadat bukan Islam di negeri ini.

“Saya percaya dengan pelbagai bantuan yang diberi ini, sudah pasti memberi keselesaan dan manfaat kepada rakyat bukan Islam di peringkat akar umbi,” katanya pada Majlis Makan Malam Sempena World Tua Pek Kong Festival ke-12 di Dewan Hakka Sabah pada Jumaat. – Info X