Search

KERAJAAN KOMITED PASTIKAN BUDAYA KERJA CEMERLANG DALAM KALANGAN PENJAWAT AWAM

June 23, 2022

admin

KOTA KINABALU: Kerajaan sentiasa komited memastikan elemen budaya kerja cemerlang dijadikan paksi utama pelaksanaan tugas khususnya berkaitan sistem penyampaian dalam kalangan penjawat awam.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Jonathan Yasin berkata, sudah menjadi kewajiban semua penjawat awam untuk sentiasa bekerja keras dan berusaha mempertingkatkan lagi daya produktiviti serta kecekapan kerja.

“Hari ini seramai 133 pegawai dan anggota Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APM).

“Ini sebagai penghargaan kepada mereka yang menunjukkan prestasi cemerlang sepanjang tahun 2021.

“Diharapkan penganugerahan ini dapat memberikan lagi suntikan semangat dan motivasi kepada mereka yang terlibat dan pegawai serta anggota Imigresen lainnya secara keseluruhan.

“Penganugerahan ini perlu menjadi tanda aras utama untuk semua agar terus memberi perkhidmatan yang berkualiti tinggi dan berintegriti,” katanya ketika berucap pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2021 JIM yang diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Jonathan menyatakan anugerah terbabit juga diharap akan sentiasa dapat memberi impak kepada nilai tambah keyakinan rakyat kepada perkhidmatan kerajaan.

Menurutnya, pengiktirafan berkenaan juga sebenarnya secara tidak langsung mewujudkan persaingan yang sihat dalam kalangan semua pegawai dan kakitangan Imigresen untuk membuktikan keupayaan organisasi bagi menghasilkan perkhidmatan yang terbaik.

Sementara itu, Jonathan turut mengucapkan tahniah atas kejayaan merealisasikan Aspirasi Keluarga Malaysia Kementerian Dalam Negeri (AKM KDN) 2022 dengan pengenalan operasi Perkhidmatan Pengeluaran Dokumen Imigresen dan Pendaftaran di kawasan pedalaman yang dicapai JIM Negeri Sabah.

“Perkhidmatan ini menawarkan perkhidmatan pengeluaran Pasport Menyeberang Sempadan (PMS) di Pos Kawalan Imigresen Pagalungan, di daerah kecil Pagalungan.

“Perluasan perkhidmatan ini membantu rakyat Sabah yang tinggal di kawasan pedalaman khususnya di sempadan negara dari segi penjimatan kos dan masa perjalanan orang awam yang berurusan, selain memudahkan urusan untuk mendapatkan perkhidmatan keimigresenan,” katanya. – Info X