KOTA KINABALU: Kerajaan negeri sentiasa komited memperkasa pembangunan pendidikan dan infrastrukturnya dalam usaha melahirkan modal insan yang berkualiti tinggi, berkemahiran dan berdaya saing.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata pembangunan modal insan di negeri ini sentiasa menjadi keutamaan bagi menyediakan pemimpin yang bakal mencorak masa hadapan negeri ini.
Beliau berkata, hanya dengan pendidikan yang baik berupaya mengubah kualiti hidup rakyat yang akhirnya menyumbang kepada kejayaan dan kecemerlangan negara khususnya negeri Sabah.
“Kita tidak mahu ada yang terpinggir daripada menerima pendidikan di negeri ini. Justeru, kerajaan negeri sentiasa memastikan anak-anak Sabah dapat meneruskan pengajian hingga ke peringkat lebih tinggi, menerusi pelbagai inisiatif.
“Ia merangkumi semua peringkat dari sekolah rendah, menengah hingga ke institusi pengajian tinggi,” katanya pada Majlis Ikrar dan Aku Janji Sempena Minggu Suai Mesra Sesi 2024/2025 kali ke-30 Universiti Malaysia Sabah (UMS) di Dewan Canselor UMS, hari ini.

Hajiji berkata, sejak 1967 hingga Jun 2024, seramai 121,897 pelajar mendapat manfaat daripada inisiatif bantuan pendidikan Yayasan Sabah, membabitkan perbelanjaan berjumlah RM868 juta.
Jelasnya, kerajaan sentiasa peka terhadap keperluan dan rintihan pelajar dan buat julung kalinya memberi bantuan subsidi tiket penerbangan menerusi Subsidi Graduan Rindu Sabah berjumlah RM600 seorang kepada semua pelajar Sabah yang belajar di universiti awam dan swasta di Semenanjung, Sarawak dan Labuan pada bulan Mac lalu dengan peruntukan lebih RM10 juta.
Selain itu katanya, pada 2023 kerajaan telah menambah peruntukan Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah (BKNS) daripada RM55 juta kepada RM101 juta.
Hajiji berkata, beliau juga melancarkan Portal Tajaan Pendidikan Sabah (PTPS)-inisiatif baharu di bawah Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) dalam memperkasa serta memudahkan penyaluran bantuan kepada anak Sabah terutama pada peringkat pengajian tinggi melalui gabungan kerjasama badan penaja utama dan pemberi bantuan pendidikan di negeri ini.
“Ini adalah sebahagian daripada inisiatif dan bantuan yang telah dirancang dan dilaksana oleh kerajaan negeri bagi membangunkan modal insan di negeri ini melalui pelan pembangunan Hala Tuju SMJ.
“Banyak lagi inisiatif, bantuan dan program yang telah dirancang bagi meningkatkan lagi keupayaan modal insan negeri ini agar Sabah lebih maju ke hadapan,” katanya.
Ketua Menteri berkata, kerajaan dan rakyat Sabah amat berbangga dengan pencapaian semasa UMS yang telah membantu menjana transformasi pembangunan di negeri ini dalam pelbagai aspek, selain menjadi pusat rujukan terutamanya di Sabah.
Katanya, kerajaan negeri sentiasa memberi kerjasama kepada UMS dalam membantu usaha ke arah kemajuan dan peningkatan tahap pendidikan tinggi negara, sesuai dengan pelan pembangunan Hala Tuju SMJ yang turut memberi penekanan kepada pembangunan modal insan selain sektor perindustrian, pertanian dan pelancongan sebagai teras utama dalam memulihkan semula ekonomi negeri ini.
Beliau yang juga Pro Canselor UMS mahu universiti itu terus mewujudkan persekitaran pendidikan tinggi yang mampu menjadi pusat ilmu unggul dan menghasilkan graduan berdaya saing serta berinovasi bagi memenuhi keperluan tenaga kerja mahir untuk negara dan negeri Sabah.
“Justeru, institusi pengajian tinggi termasuk UMS digalakkan untuk memperkukuh kerjasama dengan pemain industri dalam aktiviti penyelidikan, pembangunan, pengkomersialan dan inovasi,” katanya.
Hajiji juga mahu siswa siswi UMS sentiasa mematuhi segala peraturan kampus, mendahulukan tanggungjawab sebagai pelajar serta berusaha dengan gigih untuk menjadi insan cemerlang selain menggunakan segala ilmu yang diperoleh di menara gading untuk menyumbang kepada masyarakat dan negara. – Info X