Search

Kerajaan negeri, ConocoPhilips kukuhkan kerjasama sektor minyak dan gas

January 20, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Masidi Manjun, menegaskan kepentingan kerjasama berterusan di antara kerajaan dan pemain industri tenaga bagi memastikan sektor itu terus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negeri.

Beliau yang juga Menteri Kewangan negeri, berkata ia juga bagi memastikan sektor berkenaan dapat terus mewujudkan peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan dan memberi manfaat berterusan kepada rakyat Sabah.

“Kerjasama berterusan di antara kerajaan dan pemain industri tenaga ini penting bagi memastikan sektor itu terus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negeri, mewujudkan peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan dan memberi manfaat berterusan kepada rakyat Sabah,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan selepas menerima kunjungan hormat delegasi syarikat tenaga multinasional dari Amerika Syarikat (AS), ConocoPhillips, di pejabatnya, pada Isnin.

Kunjungan hormat diketuai Presiden ConocoPhillips Malaysia, Connor Dunn itu bertujuan memperkukuh hubungan dua hala dan membincangkan perkembangan semasa serta potensi kerjasama strategik dalam sektor minyak dan gas, khususnya melibatkan operasi serta pelaburan ConocoPhillips di Sabah.

Dalam pertemuan itu, Masidi diberi taklimat mengenai hala tuju dan perancangan syarikat, termasuk aspek keselamatan operasi, pematuhan peraturan, kelestarian alam sekitar dan komitmen ConocoPhillips terhadap pembangunan industri tenaga yang mampan.

Masidi berkata, kunjungan hormat itu mencerminkan hubungan baik yang terjalin di antara Kerajaan Negeri dan ConocoPhillips serta komitmen bersama untuk memperkukuh kerjasama strategik demi pembangunan sektor tenaga yang berdaya saing dan mampan.

Turut hadir Naib Presiden Hal-ehwal Kerajaan dan Kejuruteraan Pembangunan ConocoPhillips Malaysia, Ian Lim; Ketua Pegawai Eksekutif SMJ Energy, Datuk Dr Dionysia Kibat; Pengarah Eksekutif Upstream SMJ Energy, Datuk Albert Lo dan Pengarah Eksekutif OGSE dan Korporat SMJ Energy, Terry Biusing. – Info X