Search

Kerajaan negeri hargai peranan media di Sabah

May 7, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri menghargai peranan dan kerjasama media selama ini terutama dalam memberi laporan berkaitan segala usaha yang telah, sedang dan akan diambil oleh kerajaan di negeri ini, termasuk Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, sehubungan itu meminta pengamal media di negeri ini terus memberi sokongan dan membantu dalam melaporkan program yang dilaksanakan kerajaan agar dapat diketahui rakyat di peringkat akar umbi.

“Sebab itu, sebagai tanda sokongan berterusan dan menghargai sumbangan media di Sabah, saya telah membuat keputusan pada 2022 untuk meningkatkan jumlah sumbangan kerajaan negeri bagi penganjuran Anugerah Kewartawanan Kinabalu daripada RM60,000 sebelum ini kepada RM100,000.

“Jumlah yang sama juga diberikan bagi penganjuran Anugerah Kewartawanan Kinabalu pada tahun ini. Peningkatan sumbangan ini juga adalah pengiktirafan kerajaan negeri kepada media sebagai salah satu rakan kongsi yang penting dalam membantu menyebarkan dasar dan pembangunan yang dilaksanakan kerajaan negeri,” katanya pada Majlis Aidilfitri Ketua Menteri Bersama Media 2024, di sini, pada Isnin.

Dalam pada itu, Hajiji berkata media turut memainkan peranan penting dalam usaha membangunkan rakyat dan negeri.

Hajiji bersalaman dengan pengamal media yang hadir pada sambutan Aidilfitri Ketua Menteri Bersama Media di Kota Kinabalu.

“Menerusi laporan media ia kadangkala menjadi antara sumber maklumat kepada kerajaan untuk mengetahui apa yang berlaku di peringkat akar umbi, selain rintihan rakyat.

“Saya juga meminta media supaya mengamalkan sikap bertanggungjawab, profesional dan beretika dalam menyampaikan laporan agar rakyat tidak keliru hingga menimbulkan rasa bimbang.

“Oleh itu, saya menggesa media arus perdana supaya menyediakan berita yang tepat dan berfakta bagi menangkis pelbagai berita palsu yang dilaporkan di media sosial,” katanya.

Mengenai sambutan Aidilfitri bersama media, Ketua Menteri berkata majlis itu adalah sebagai tanda terima kasih dan menghargai peranan penting pengamal media sama ada media cetak, elektronik dan portal dalam membuat liputan program dan aktiviti anjuran kerajaan negeri.

Sempena majlis itu, Ketua Menteri turut menyampaikan sumbangan sebanyak RM100,000 untuk penganjuran Anugerah Kewartawanan Kinabalu 2024 kepada Presiden Persatuan Wartawan Sabah (SJA), Datuk Muguntan Vanar.

Yang turut hadir ialah Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Safar Untong; Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Joniston Bangkuai; Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Ruslan Muharram; Pengarah Media dan Komunikasi, Jabatan Ketua Menteri, Datuk Lucy Irene Yong; Presiden Kota Kinabalu Journalists Association (KKJA), Jimmy Goh; Pengarah Jabatan Penyiaran Malaysia, Sabah, Salmah Hashim dan Pengarah Jabatan Penerangan Malaysa, Sabah, Jainisah Mohd Noor.

Lebih 250 pengamal media termasuk ketua biro dan ketua pengarang menghadiri majlis berkenaan. – Info X