KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor megulangi komitmen Kerajaan Negeri untuk melaksanakan pelbagai usaha pembangunan yang menyeluruh.
Katanya, ia termasuk penekanan kepada pengukuhan ekonomi negeri, pembangunan infrastruktur dan peningkatan kemudahan kesihatan, pendidikan, keselamatan seeta pelbagai aspek lain demi kesejahteraan rakyat.
“Dalam menjayakan agenda ini, anggota perkhidmatan awam hendaklah melaksanakan tanggungjawab dengan penuh dedikasi, jujur dan berintegriti bagi memastikan setiap dasar serta inisiatif kerajaan dapat dilaksanakan dengan lebih baik dan berkesan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Jamuan Negeri sempena Sambutan Ulang Tahun Kelahiran Rasmi Ke-75 Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri di Dewan Bankuasi, Dewan Undangan Negeri (DUB) Sabah, pada malam Isnin.
Katanya, dengan terbentuknya Kerajaan Negeri yang baharu bagi penggal kedua pada November lalu, agenda pembangunan yang holistik berteraskan Hala Tuju SMJ 2.0 iaitu lanjutan daripada Dasar Hala Tuju SMJ 1.0, akan menjadi panduan dan landasan dalam membawa negeri ini ke mercu kejayaan.
“Kejayaan pelaksanaan Pelan Pembangunan SMJ 1.0 memberi kita keyakinan bahawa pendekatan pentadbiran kerajaan sejak lima tahun lalu berada pada landasan yang tepat.
“Justeru, Pelan Pembangunan SMJ 2.0 adalah lanjutan yang menuntut perubahan berterusan dalam meningkatkan keupayaan diri, merangkumi perubahan cara berfikir dan bekerja serta mencipta nilai baharu untuk kemajuan dan pembangunan yang berterusan,” katanya.
Beliau menyeru semua pihak agar memainkan berperanan masing-masing dalam menjunjung tinggi nilai profesionalisme, memelihara disiplin dan berpegang teguh kepada integriti dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan.
“Saya yakin pentadbiran yang berteraskan integriti dan tadbir urus yang baik mampu meningkatkan keyakinan pelabur, memperkukuh daya saing ekonomi negeri serta mewujudkan persekitaran yang kondusif ke arah pembangunan yang mampan,” katanya.
Hajiji berkata segala usaha dan inisiatif murni kerajaan hendaklah dilaksanakan dengan penuh rasa tanggungjawab bagi memastikan Sabah terus bergerak maju dan mencapai pembangunan yang mampan selaras dengan aspirasi pembangunan negeri.
Ketua Menteri turut berkata bahawa beliau dan seluruh anggota pentadbiran negeri amat menghargai kepimpinan, kebijaksanaan serta naungan TYT Yang di-Pertua Negeri yang menjadi lambang perpaduan, kestabilan dan keharmonian rakyat di negeri ini. – Info X