PENAMPANG: Kerajaan negeri menerusi Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah (LKNS) akan melaksanakan beberapa program kebudayaan penting pada tahun ini.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata ia bagi memastikan warisan kebudayaan dan kesenian rakyat tempatan dapat dipertahankan dari generasi ke generasi.
Katanya, antara program itu ialah pembangunan komuniti melalui modul Protokol Budaya Komuniti yang akan memberi manfaat kepada komuniti pelancongan luar bandar dan badan kebudayaan dalam meningkatkan pengurusan dan layanan pelancongan budaya yang bertaraf dunia.
Selain itu katanya, projek meningkatkan produk pelancongan di Pusat Kebudayaan Murut Tenom juga akan dilaksanakan pada tahun ini, selain memperkasa Cultural PitStop (CPS) di Tawau, Kota Belud, Sandakan dan Tenom serta tiga lagi lokasi lain iaitu Dataran Wisma Budaya, Ranau dan Keningau.
“Program-program itu bertujuan memastikan khazanah yang diwarisi ini dapat dipertahankan dari generasi ke generasi,” katanya pada Majlis Penutupan Sambutan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah 2024 di Dewan Hongkod Koisaan KDCA yang disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Hajiji berkata, sambutan Pesta Kaamatan amat signifikan dengan usaha jerajaan negeri untuk memartabatkan warisan kebudayaan dan kesenian rakyat tempatan.
“Kita juga menyedari bahawa kekayaan tradisi budaya dalam kepelbagaian etnik adalah aset penting dalam sektor pelancongan yang akan terus dipelihara untuk diwarisi generasi akan datang.
“Sebab itu, Kerajaan Negeri amat menyokong usaha mengembangkan dan mempertahankan budaya serta kesenian setiap etnik menerusi persatuan masing-masing agar warisan budaya berharga ini berkekalan,” katanya. – Info X