KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri mengambil langkah segera dan bersepadu bagi melindungi rakyat daripada tekanan kos sara hidup yang semakin meningkat susulan ketidaktentuan harga minyak global akibat konflik antarabangsa.
Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, peningkatan harga minyak dunia serta gangguan rantaian bekalan tenaga, khususnya susulan konflik di Asia Barat, berpotensi memberi kesan besar kepada ekonomi negeri termasuk lonjakan kos operasi, logistik dan harga barangan.
“Implikasinya, tekanan inflasi akan meningkat, sekali gus menjejaskan kuasa beli rakyat dan memperlahankan pertumbuhan ekonomi,” katanya ketika menjawab soalan Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal (Warisan-Senallang) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, hari ini.
Menurut beliau, sebagai langkah segera, Kerajaan Negeri menyokong pendekatan Kerajaan Persekutuan mengekalkan harga bahan api bersubsidi, termasuk petrol RON95 pada RM1.99 seliter dan diesel bersubsidi pada RM2.15 seliter bagi Sabah, Sarawak dan Labuan.
Katanya, kerajaan negeri juga konsisten memperjuangkan pengekalan subsidi diesel di Sabah kerana ia kritikal dalam mengawal kos pengangkutan serta mengelakkan beban kenaikan harga dipindahkan kepada pengguna.
Dalam masa sama, Kerajaan Persekutuan melalui Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) menubuhkan Pasukan Petugas Pengurusan Krisis bagi memantau bekalan tenaga dan merangka langkah mitigasi, termasuk memperkukuh kawalan harga serta membanteras penyeludupan.
Mengulas lanjut, beliau berkata kerajaan negeri telah melaksanakan pelbagai inisiatif bagi meringankan beban rakyat, termasuk bantuan kewangan bersasar menerusi Program Sentuhan Kasih Rakyat (SYUKUR) yang memberi manfaat kepada 100,000 penerima dan dijangka meningkat kepada 140,000 penerima dengan peruntukan RM339.16 juta.
“Inisiatif ini dilaksanakan selari dengan bantuan Persekutuan seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA), yang memanfaatkan lebih 800,000 penerima di Sabah dengan peruntukan RM1.25 bilion,” katanya.
Selain itu, Hajiji berkata, usaha memperkukuh daya tahan isi rumah turut diperkasa melalui program Kebun Dapur bagi menggalakkan rakyat menghasilkan bekalan makanan sendiri, sekali gus mengurangkan perbelanjaan harian.
Katanya, Kerajaan Negeri juga menggalakkan penggunaan produk tempatan yang lebih berpatutan dan mampu merangsang permintaan domestik serta menyokong industri tempatan.
Bagi mengurangkan beban utiliti, katanya, kerajaan menyediakan rebat bil elektrik RM40 kepada Ketua Isi Rumah berdaftar dengan eKasih serta diskaun 10 peratus kepada rumah kebajikan, rumah ibadah dan institusi pendidikan, selain sektor pertanian, akuakultur dan perikanan.
Tambag beliau, turut dilaksanakan ialah diskaun 20 peratus melalui Off-Peak Tariff Rider (OPTR) kepada pengguna komersial dan industri voltan rendah bagi mengurangkan kos operasi.
Dalam jangka sederhana dan panjang, Hajiji berkata, kerajaan memberi tumpuan kepada sekuriti makanan dengan peruntukan lebih RM102.86 juta di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) bagi meningkatkan pengeluaran pertanian, ternakan dan perikanan.
Beliau berkata, lima daerah dikenal pasti sebagai Lembah Pengeluaran Makanan iaitu Keningau, Tenom, Nabawan, Tongod dan Tambunan bagi mengoptimumkan pengeluaran makanan berskala besar.
“Antara projek utama termasuk Pusat Ternakan Bersepadu Keningau (KILC) dan pembangunan industri tenusu di Sook, yang dijangka dapat mengurangkan kebergantungan kepada import serta menstabilkan harga pasaran,” katanya.
Hajiji berkata, Kerajaan Negeri turut memberi perhatian kepada kecekapan logistik melalui kerjasama dengan Kerajaan Persekutuan dalam projek pembesaran Pelabuhan Sepanggar bagi meningkatkan kapasiti kargo dan mengurangkan kos pengangkutan.
Pada masa sama, katanya, Unit Perancang Ekonomi Negeri Sabah bekerjasama dengan Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) termasuk pelaksanaan kajian Pelan Tindakan Penstabilan Harga oleh Universiti Malaysia Sabah (UMS).
Dalam sektor perniagaan pula, beliau berkata, kerajaan komited memperkukuh Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) bagi mengembangkan pengeluaran dan pengkomersialan produk tempatan.
Sehubungan itu, beliau menyeru rakyat agar mengamalkan perbelanjaan berhemah, mengelakkan pembaziran serta tidak menyalahgunakan subsidi demi memastikan kestabilan bekalan barangan dan bahan api terus terpelihara. – Info X