SANDAKAN: Kerajaan negeri di bawah pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor mempunyai rekod kejayaan yang jelas dalam memperjuangkan hak Sabah secara konsisten dengan momentum yang amat positif.
Pemangku Ketua Pemuda Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Azrul Ibrahim, berkata dalam isu 40 peratus hasil Sabah, pentadbiran Hajiji berjaya meningkatkan kadar interim pemberian khas.
Kenaikan kadar itu, katanya bermula dengan RM125.6 juta berbanding hanya RM26.7 juta yang diberikan terdahulu selepas tidak pernah dinaikkan atau disemak selama puluhan tahun lalu.
“Pada tahun 2023 kadar interim pemberian khas sekali lagi dinaikkan kepada RM300 juta, sebelum meningkat lagi kepada RM600 juta pada 2025,” katanya pada sesi penerangan sempena Jelajah Pemuda Gagasan Rakyat Zon Sandakan yang disertai tujuh bahagian iaitu Sekong, Karamunting, Sungai Manila, Sungai Sibuga, Gum-Gum, Tanjung Papat dan Elopura, pada Rabu.
Program jelajah itu, katanya dilaksanakan sebagai platform untuk pimpinan pemuda menyampaikan perkembangan terkini parti di samping memberi penerangan berkaitan isu-isu semasa kepada akar umbi.
Azrul berkata, isu pemberian khas Persekutuan semakin mendapat perhatian meluas selepas Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu mengarahkan kerajaan Persekutuan menyelesaikan pembayaran 40 peratus kepada Sabah.
Susulan itu, katanya kerajaan negeri mengambil langkah signifikan dengan mendesak kerajaan Persekutuan supaya membayar pemberian khas bagi tahun semasa melibatkan cukai yang tidak dipertikaikan, sebagaimana yang dibentangkan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang lalu.
“Antara hasil cukai yang terlibat ialah cukai kastam dan cukai LHDN, yang mana anggaran 40 peratus bagi tahun semasa berjumlah RM3.019 bilion.
“Sehubungan itu, Pemuda Gagasan Rakyat menyeru pimpinan Pemuda di semua peringkat untuk bersama-sama kerajaan negeri menuntut agar kerajaan Persekutuan membayar jumlah tersebut pada tahun semasa.
“Dana tersebut amat penting dan diperlukan oleh kerajaan negeri bagi memperkasa pembangunan infrastruktur rakyat serta menyelesaikan pelbagai masalah asas yang membelenggu rakyat Sabah sejak sekian lama,” katanya.
Selain itu, Azrul berkata Pemuda Gagasan Rakyat juga bersedia untuk terus menjadi tulang belakang parti dalam menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) Pilihan Raya Negeri (PRN) pada masa akan datang demi memastikan perjuangan rakyat dan hak Sabah terus dipertahankan.
Pada program itu, beliau turut menerangkan memgenai penstrukturan semula dan pindaan perlembagaan Gagasan Rakyat, khususnya yang nembabitkan struktur bahagian.
“Langkah penstrukturan ini amat penting bagi memperkukuhkan parti dalam mendepani PRU akan datang. Selain itu, ia juga bertujuan memudahkan penyampaian arahan dan komunikasi parti dari peringkat tertinggi kepada ahli di peringkat akar umbi secara lebih tersusun dan berkesan,” katanya. – Info X