Search

Kerajaan Pusat yang batalkan PDP, bukan saya – Shafie

April 1, 2024

Info X Reporters

KOTA BELUD: Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, menafikan bertanggungjawab terhadap pembatalan syarikat rakan penyampai projek (PDP) bagi Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah ketika Warisan menguasai kerajaan negeri.

Ahli Parlimen Semporna itu sebaliknya menjelaskan, pelantikan dan penamatan PDP untuk projek lebuh raya itu, termasuk di Sarawak adalah bidang kuasa Kementerian Kewangan persekutuan.

Katanya, Menteri Kewangan persekutuan yang melantik PDP tetapi beliau dan Warisan pula disalahkan membatalkan PDP apabila projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah mengalami kelewatan dan belum siap hingga sekarang.

“Yang membatalkan PDP (ialah) kerajaan persekutuan, Menteri Kewangan, yang melantik mereka (PDP) ialah Menteri Kewangan. PDP Sabah dibatalkan, PDP Sarawak juga dibatalkan, manakan saya pula ada kuasa batal PDP Sarawak.

“Kenapa (PDP) Sabah dibatalkan, kenapa (PDP) Sarawak dibatalkan? Dua-dua dibatalkan, pasal yuran PDP itu, jumlahnya 5.5 peratus daripada RM12 bilion (kos projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah).

“Kalau dikira 5.5 peratus itu, nilainya RM700 juta, diberi kepada dia (PDP) sebagai yuran konsultasi. Buat apa beri RM700 juta, bagus kasi JKR Sabah, JKR Pusat,” katanya ketika berucap pada majlis berbuka puasa anjuran Warisan di Kampung Pantai Emas, di sini, semalam.

Beliau yang juga bekas Ketua Menteri Sabah berkata perkara itu bukan dinyatakannya, sebaliknya ia adalah berdasarkan Laporan Ketua Audit Negara pada 2019 yang mengatakan kerajaan persekutuan membatalkan PDP.

Katanya, pelantikan kontraktor projek itu juga terletak di tangan kerajaan persekutuan dan bukan kerajaan Warisan ketika parti itu mentadbir Sabah sebelum ini.

Shafie juga menjelaskan bahawa syarikat kontraktor yang dilantik kerajaan persekutuan sebelum itu masih dikekalkan selepas PDP ditamatkan sehinggalah ke hari ini.

Sebelum ini, Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Kerja Raya negeri, Datuk Ir Shahelmey Yahya berkata tindakan membatalkan PDP adalah salah dan ia antara punca kelewatan Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah. – Info X