Search

Kerajaan utamakan beri milikan tanah anak negeri untuk basmi kemiskinan

April 24, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri memberi keutamaan pemberimilikan berstatus anak negeri (NT) dan Field Register (FR) kepada anak negeri Sabah bagi membasmi kemiskinan dan meningkatkan taraf hidup rakyat.

Pembantu Menteri kepada Ketya Menteri Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, berkata berdasarkan statistik Jabatan Tanah dan Ukur (JTU), jumlah geran tanah berstatus NT dan FR setakat 31 Mac 2024 adalah sebanyak 230,540.

Katanya, jumlah itu mewakili 54 peratus daripada jumlah keseluruhan geran tanah yang berdaftar di Sabah.

“Manakala, jumlah tanah pajakan (leases) berdaftar setakat 31 Mac 2024 ialah sebanyak 200,087 ataupun 46 peratus daripada jumlah keseluruhan geran tanah berdaftar,” katanya pada sesi soal jawab lisan Persidangan DUN Sabah, hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Raimie Unggi (BN-Dilantik) mengenai jumlah keluasan tanah dan bilangan geran NT serta CL (Commersial Lease) yang diluluskan kerajaan kepada pemohon rakyat Sabah.

Nizam berkata, tanah pajakan (leases) adalah penting dalam pembangunan ekonomi Sabah dari segi kutipan hasil negeri, pembangunan, pelaburan dan peluang pekerjaan.

“Kerajaan Negeri sentiasa memastikan keseimbangan di antara bilangan keseluruhan NT/FR dan tanah pajakan (leases) iaitu dari segi pemberimilikan tanah demi mencapai objektif Kerajaan Negeri untuk membasmi kemiskinan dan meningkatkan pembangunan negeri,” katanya.

Sementara itu, Nizam berkata, sebanyak 4,339 deraf geran dengan keluasan 8,787.41 hektar untuk permohonan tanah bersyarat NT/FR telah disediakan sepanjang tahun 2023.

Selain itu, katanya sebanyak 406 deraf geran dengan keluasan 5,199.53 hektar untuk permohonan tanah bersyarat pajakan disediakan sepanjang tahun lalu.

“Geran NT/FR hanya boleh diberi milik kepada anak negeri Sabah saja, manakala CL boleh diberi milik kepada
syarikat, badan berkanun dan individu sama ada berasal atau bukan berasal dari Sabah,” katanya. – Info X