Search

Kerana PATI curi air, penduduk Suang Parai tanggung sengsara

March 19, 2023

admin

KOTA KINABALU: Penduduk di Kampung Suang Parai, Sepanggar, di sini, mendakwa, ketiadaan bekalan air di kawasan mereka adalah berpunca daripada kegiatan curi air oleh pendatang asing tanpa izin (PATI) yang membina penempatan haram di sekeliling kampung berkenaan.

Seorang penduduk, Zulkarnain Ramli berkata, masalah bekalan air di kampung mereka sudah berlarutan selama lebih dua bulan dan berharap pihak berwajib mengambil tindakan segera bagi menyelesaikannya.

Katanya, laporan polis berhubung kegiatan curi air di sekitar kampung itu juga telah dibuat.

“Yang kita mahu sekarang ini akses air itu sampai kepada kita, sebab selama dua bulan 19 hari orang di sini (Kampung Suang Parai) terpaksa beli air mineral, terpaksa lari ke stesen minyak, ke pusat-pusat hentian minyak dan sebagainya hanya semata-mata untuk mendapatkan air.

“Dalam kalangan penduduk di sini ada orang-orang tua yang susah bergerak, ada ibu-ibu mengandung, ibu-ibu tua, ada anak, tiada kereta dan majoriti masyarakat di suang parai ini adalah B40, kita tidak tahan sentiasa kena beli air,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Turut menyuarakan masalah itu, warga emas Selimah Rangkata, 72, yang mendakwa masalah air di kampung berkenaan telah mengakibatkan kesihatannya terjejas.

“Saya pernah sakit kepala, lutut, badan menunggu air, tiada air, kadang-kadang ada, kadang-kadang macam kencing saja, besar lagi kencing…paling-paling dapat satu baldi apa boleh buat kami bukan orang kaya kami sini miskin,” katanya.

Seorang lagi penduduk Ali Sabtoo berkata, beliau dan ahli keluarga kini terpaksa menumpang mandi dan mencuci kain di rumah saudara.

Dia juga berharap masalah berkenaan dapat diselesaikan segera, lebih-lebih lagi bulan Ramadhan yang bakal tiba beberapa hari saja lagi.

“Kami terpaksa membeli air di luar, terpaksa berhijrah kepada ke rumah keluarga-keluarga terdekat untuk mandi, mencuci kain dan sebagainya.

“Kami sudah tidak tahan dengan keadaan begini, jadi kami menyeru kepada pihak yang berkenaan untuk tampil bersama-sama kami, lebih-lebih lagi penduduk di sini bakal menghadapi bulan Ramadhan,” katanya.

Untuk rekod, isu gangguan bekalan air di Kampung Suang Parai telah menjejaskan kehidupan seramai kira-kira 900 penduduk kampung sejak Januari lalu.

Pada 9 mac lalu, Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) telah melaksanakan operasi pemotongan 34 sambungan paip haram di kampung itu namun disambung semula oleh kumpulan PATI yang tinggal di penempatan haram berhampiran kampung berkenaan. – Info X