Search

Kereta hilang kawalan rempuh pelanggan kedai kopi

April 16, 2026

Info X Reporters

PENAMPANG: Dua pelanggan sebuah kedai kopi di Nambazan, di sini, cedera ringan selepas dirempuh kenderaan yang hilang kawalan ketika sedang menikmati hidangan, dalam kejadian yang tular di media sosial.

Kejadian jam 5.27 petang, pada Selasa itu berlaku di Jalan Papar Lama, Uptown Nambazan itu melibatkan dua kenderaan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Erwansyah Abdul Basir berkata, siasatan awal mendapati kejadian berpunca daripada sebuah kenderaan dipandu wanita tempatan.

“Wanita itu dipercayai sedang mengundur keluar dari kawasan parkir sebelum melanggar sebuah kenderaan lain di belakangnya.

“Akibat pelanggaran itu, pemandu kenderaan yang dilanggar dipercayai tersalah menekan pedal minyak sehingga menyebabkan kenderaan hilang kawalan dan naik ke kaki lima premis makanan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, kedua-dua pemandu yang terlibat tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Manakala dua pelanggan yang berada di lokasi hanya mengalami kecederaan ringan dan menerima rawatan sebagai pesakit luar.

“Kes disiasat mengikut Kaedah 17 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959,” katanya.

Beliau turut menasihatkan orang ramai agar sentiasa berhati-hati ketika memandu selain tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian yang telah tular di media sosial.

Semalam, tular video berdurasi 43 saat memaparkan kejadian berkenaan di media sosial.

Berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang dikongsikan kepada Info X, mangsa dilihat sedang duduk di ruang kaki lima premis sebelum sebuah kereta tiba-tiba merempuh kawasan itu.