Search

Kereta langgar peserta maraton ditemui terbabas di Jalan Tuaran

May 11, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Sebuah Proton Saga dipercayai terus bergerak sebelum terbabas berhampiran Petronas Jalan Tuaran selepas melanggar peserta Borneo International Marathon (BIM) 2026 di Jalan UMS, awal pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda berkata, kejadian kira-kira jam 3.30 pagi itu membabitkan peserta lelaki berusia 40 tahun yang sedang menyertai larian kategori 42 kilometer.

Menurutnya, mangsa ketika itu sedang berlari di laluan kiri jalan yang dikhaskan untuk peserta maraton di KM32 Jalan UMS menghala ke arah Likas sebelum dilanggar dari arah belakang.

“Hasil siasatan awal mendapati kenderaan jenis Proton Saga dipandu lelaki tempatan berusia 27 tahun melanggar mangsa sebelum dipercayai terus bergerak dan terbabas berhampiran Petronas Jalan Tuaran.

“Akibat kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan ringan di bahagian tangan, lutut dan belakang leher sebelum menerima rawatan lanjut di Hospital Gleneagles Kota Kinabalu,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Katanya, pemandu kenderaan turut mengalami kecederaan ringan di bahagian lengan kanan.

Kasim berkata, siasatan di lokasi kejadian mendapati kon keselamatan dipasang di lorong kiri jalan sebagai pemisah laluan peserta maraton dan laluan kenderaan.

“Kenderaan terbabit sudah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu untuk pemeriksaan lanjut oleh PUSPAKOM.

“Kes disiasat mengikut Kaedah 10 Kaedah-Kaedah Lalulintas Jalan 1959 dan siasatan lanjut masih diteruskan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian,” katanya.

Terdahulu, kejadian itu tular di media sosial selepas penganjur Borneo International Marathon memaklumkan seorang peserta larian dan petugas RELA cedera dalam insiden dipercayai langgar lari ketika acara berlangsung. – Info X