Search

Kereta sarat bawa 125,000 batang rokok seludup

July 1, 2025

Info X Reporters

KUNAK: Seorang lelaki tempatan ditahan selepas pemeriksaan ke atas kereta dipandunya menemui 125,000 batang rokok seludup dalam pemeriksaan di kawasan Kunak Jaya, di sini, semalam.

Kenderaan terbabit dipintas sepasukan anggota Batalion 22 Pasukan Gerakan Am (PGA) Kunak yang menjalankan Operasi Bersepadu Intra/Inter-Op Taring Alpha 1, hasil risikan bersama Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kunak.

Komander PGA Sabah, Datuk Abdul Rani Alias berkata, pemeriksaan lanjut mendapati kenderaan itu dipandu seorang lelaki dan dipenuhi dengan kotak berisi rokok putih serta rokok kretek disyaki tidak bercukai.

“Antara rampasan yang dilakukan termasuk 95,000 batang rokok putih, 30,000 batang rokok kretek dan sebuah kenderaan digunakan untuk aktiviti pengedaran.

“Jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan melebihi RM218,000,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Rokok seludup yang dirampas anggota Batalion 22 Pasukan Gerakan Am (PGA) Kunak di Kunak Jaya. – Pix/PGA

Menurutnya, siasatan awal mendapati suspek mendapat bekalan rokok dari Tawau sebelum diedarkan di sekitar daerah ini.

“Suspek bersama barang rampasan diserahkan kepada IPD Kunak dan kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

“Kejayaan ini turut membuktikan ketegasan PGA Briged Sabah dalam memerangi kegiatan penyeludupan yang semakin licik, khususnya di kawasan rentas sempadan,” katanya. – Info X