LAHAD DATU: Seorang lelaki maut manakala dua lagi cedera apabila kereta dipandunya bertembung dengan lori dalam kejadian di simpang Sekolah Kebangsaan (SK) Sandau, di sini, petang tadi.
Dalam kejadian jam 3.15 petang itu, kereta jenis Toyota Vios dipandu mangsa berusia 24 tahun terbakar sepenuhnya dipercayai akibat impak kuat perlanggaran.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Sumsoa Rashid berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 3.20 petang sebelum sepasukan lapan anggota bersama dua jentera dikejarkan ke lokasi.
“Sebaik tiba, Toyota Vios berkenaan didapati terbakar 100 peratus. Pasukan bomba segera menjalankan operasi pemadaman menggunakan satu aliran hos gegelung.
“Api berjaya dikawal pada jam 4.28 petang. Operasi kemudian ditamatkan 10 minit kemudian,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, pemandu Toyota Vios disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Mangsa berjaya dikeluarkan orang awam sebelum kereta terbakar sepenuhnya. Mayatnya diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
“Dua lagi mangsa iaitu lelaki berusia 34 dan 24 tahun yang menaiki lori terbabit mengalami kecederaan dan dihantar ke hospital untuk rawatan,” katanya. – Info X