KOTA BELUD: Seorang lelaki maut manakala dua lagi cedera selepas kenderaan dinaiki mereka hilang kawalan sebelum terbalik beberapa kali ketika menuruni bukit di Jalan Kota Belud-Kota Marudu, malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 9 malam itu, kesemua mangsa yang menaiki kereta jenis Proton Saga dikatakan dalam perjalanan menuju ke Kota Kinabalu.
Ketua Polis Daerah Kota Belud, Superintendan Shahrudin Mat Husain berkata, mangsa yang maut berusia 40 tahun iaitu pemandu kereta terbabit manakala dua yang cedera termasuk seorang parah adalah penumpang berusia 33 dan 39 tahun.
“Hasil siasatan awal, kenderaan yang dinaiki tiga mangsa terbabit didapati bergerak dari arah Kota Marudu menghala ke Kota Kinabalu.
“Bagaimanapun, sebaik tiba di lokasi kejadian, ketika menuruni bukit, pemandu dipercayai gagal mengawal kenderaan sehingga terbalik beberapa kali dan masuk ke dalam parit konkrit,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Shahrudin berkata, pemandu disyaki meninggal dunia di lokasi kejadian manakala dua lagi mangsa yang cedera terus dibawa ke Hospital Kota Belud untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Katanya, siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sehubungan itu, Shahrudin menasihati orang ramai supaya sentiasa berhati-hati semasa memandu dan mematuhi undang-undang jalan raya yang ditetapkan.
Selain itu katanya, pengguna jalan raya juga digesa supaya memastikan kenderaan masing-masing berada dalam keadaan baik. – Info X