Search

Keretapi Trans Borneo mampu lonjak ekonomi Sipitang

April 3, 2024

Info X Reporters

SIPITANG: Cadangan Projek Keretapi Trans Borneo menghubungkan Sabah, Sarawak, Brunei dan Kalimantan, Indonesia disasar membawa pertumbuhan ekonomi yang lebih pesat ke daerah sempadan jika ia menjadi kenyataan.

Pengerusi Qhazanah Sabah Berhad (QSB), Datuk Dr Yusof Yacob, berkata sebagai pintu masuk ke Sabah, Sipitang dijangka menerima limpahan manfaat daripada projek itu sejajar cadangan jajarannya di Sabah yang bermula dari daerah ini hingga ke Kota Kinabalu.

Katanya, kedudukan Sipitang sebagai pintu masuk pengunjung dari Sarawak, negara Brunei Darussalam dan Kalimantan, Indonesia, menjadikannya destinasi penting perkhidmatan kereta api berkelajuan tinggi itu.

“Sebagai daerah terletak di sempadan, kawasan pertama di Sabah menerima pengunjung dari Sarawak, Brunei dan Indonesia..sudah tentu ia satu perancangan yang baik,” katanya ditemui pada Program Iftar di Surau Kampung Lumut, dekat sini, semalam.

Dr Yusof bersama penduduk pada program iftar di Surau Kampung Lumut, Sipitang.

Beliau diminta mengulas cadangan sebuah syarikat dari Brunei untuk membangunkan landasan kereta api berkelajuan tinggi sepanjang 1,620 kilometer yang merentasi tiga negara, iaitu Kalimantan, Indonesia; Brunei dan Sabah, Sarawak.

Dr Yusof yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sindumin, Sipitang, mendedahkan syarikat dari Brunei yang berminat melaksanakan projek itu ada berjumpa dengannya mengenai perkara itu.

“Kita sedang berunding bagaimana untuk melaksanakan Projek Keretapi Trans Borneo ini dan mengikut Menteri Kerja Raya, Kerajaan Persekutuan menyediakan peruntukan khas untuk membuat kajian kebolehlaksanaan cadangan ini.

“Pelaksanaan pembinaan landasan ini bukan biasa disebabkan keadaan geografi di Sabah dan Sarawak yang berbukit bukau dan bergunung-ganang.

“Sudah tentu akan menelan belanja tinggi termasuk membabitkan pembinaan terowong, jambatan panjang dan pelbagai kemudahan yang sudah tentu bukan mudah,” katanya.

Beliau berkata, walaupun cadangan projek itu masih di peringkat awal, perlu dimaklumkan juga bentuk koordinasi di antara Sabah, Sarawak, Brunei dan Kalimantan supaya kesalinghubungan berjalan lancar.

“Sudah tentu ia membabitkan kos tinggi dan kita mahu tahu siapa yang akan menanggung kos ini sama ada Kerajaan Persekutuan atau negeri atau melalui kaedah lain,” katanya.

Sebelum ini, kerajaan negeri menyifatkan cadangan Projek Keretapi Trans Borneo itu sebagai sesuatu yang baik kerana boleh menjadi pemangkin pertumbuhan di Borneo jika menjadi kenyataan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata projek itu akan memberi kesan yang besar dalam mengukuhkan saling hubungan rakyat di keempat-empat wilayah yang dihubungkan dengan sistem pengangkutan rel itu. – Info X