Search

Kerja sungguh-sungguh pesanan terakhir ibu sebelum anak maut kemalangan

August 2, 2023

Junaidi Ladjana

KOTA KINABALU: “Tidak sangka pesan saya supaya sentiasa bekerja bersungguh-sungguh adalah pesanan terakhir untuk Al,” kata Hidawati Hussin, 42.

Wanita itu adalah ibu kepada Al Nazrin, 19, yang maut selepas motosikal ditunggangnya terlanggar kon pembahagi jalan lalu merempuh pejalan kaki sebelum tercampak ke seberang jalan di Jalan Ums – Sulaman, berhampiran University Apartment (UA), di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian jam 7.45 pagi, Al disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan dari Hospital Queen Elizabeth II (HQE II) akibat parah di bahagian kepala.

Manakala pejalan kaki dua beranak iaitu wanita berusia 41 tahun cedera ringan dan anaknya lelaki berusia 23 tahun parah disyaki patah kaki kanan dan tangan kanan. Kedua-dua mereka menerima rawatan di Hospital Wanita Dan Kanak-Kanak (HWKK) Likas.

Keadaaan kemalangan maut di lokasi membabitkan seorang penunggang motosikal.

Hidawati berkata, dia mengetahui kejadian menimpah anaknya itu selepas dihubungi oleh seorang lagi anak lelakinya yang berada di lokasi kemalangan.

“Saya mengetahui kejadian itu selepas dihubungi seorang lagi anak saya. Ketika itu saya berada di rumah dan bergegas ke lokasi kejadian.

“Pada saat itu, saya hanya mampu menjerit dan memeluk erat tubuh Al,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Menurutnya, kali terakhir dia bersama Al pada kelmarin, ketika arwah datang ke rumah di Taman Seri Maju, Sepanggar.

“Al tinggal bersama neneknya di Manggatal, dan kelmarin dia datang ke rumah bertanya khabar.

“Sebelum Al beredar, saya sempat berpesan supaya kerja bersungguh-sungguh,” katanya sebak.

Anggota polis bersama orang awam mengangkat mayat mangsa untuk dibawa ke hospital bagi tujuan bedah siasat.

Tambahnya, sebelum kejadian arwah Al dalam perjalanan ke tempat kerjanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, siasatan awal di lokasi kejadian mendapati seorang wanita berjalan kaki bersama anaknya dari Sulaman menuju ke arah laluan bertentangan di University Apartment manakala penunggang motosikal dari arah Kampung Numbak ke Manggatal.

Katanya, ketika wanita bersama anaknya sedang melintas dari pembahagi jalan dan sedang berdiri di laluan paling kanan jalan yang ditutup dengan kon penghadang untuk pengguna jalan lain, secara tiba-tiba motosikal yang ditunggang Al disyaki bergerak laju di laluan yang tertutup itu.

“Motosikal itu kemudian terlanggar kon pembahagi jalan lalu mengakibatkan kon itu tercampak dan mengenai anak wanita terbabit hingga menyebabkan lelaki itu terjatuh di atas jalan dan bahagian kakinya terseret bersama motosikal dan kon penghadang jalan berkenaan.

“Manakala ibu lelaki itu sempat mengelak lalu terjatuh ke pembahagi jalan. Wanita itu mengalami cedera ringan manakala anaknya disyaki patah kaki kanan dan tangan kanan,” katanya.

Menurutnya, penunggang motosikal disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di bahagian kepala.

“Siasatan masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya. – Info X