Search

Kerjasama kerajaan, FCAS kukuhkan kesejahteraan negeri – KM

February 22, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Semangat kerjasama yang kukuh di antara kerajaan dan pertubuhan masyarakat seperti Gabungan Persatuan Cina Sabah (FCAS) mampu membantu memelihara kesejahteraan negeri Sabah.

Menyuarakan keyakinan itu, Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, beliau percaya melalui semangat kerjasama, ia dapat memperkukuh kestabilan sosial dan memajukan ekonomi rakyat.

“Ini sejajar dengan aspirasi kerajaan negeri di bawah Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) yang sentiasa menitikberatkan pembangunan yang inklusif dan seimbang agar semua kaum dan komuniti mendapat manfaat daripada kemajuan negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada Pesta Angpau FCAS di Dewan Hakka, di sini pada Sabtu.

Ucapan beliau disampaikan oleh Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Kerja Raya dan Utiliti, Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam.

Ketua Menteri berkata, FCAS yang menghimpunkan 160 persatuan Cina dari seluruh Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan memainkan peranan penting dalam memelihara budaya, memperkukuh perpaduan masyarakat dan menyumbang kepada pembangunan sosial serta ekonomi Sabah.

“Pesta Angpau seperti yang dianjurkan FCAS bukan sekadar acara perayaan tetapi lambang perpaduan, muhibah dan semangat kebersamaan masyarakat berbilang kaum di negeri ini.

“Kehadiran kita pada malam ini mencerminkan keharmonian yang telah sekian lama menjadi kekuatan Sabah.

“Justeru, kerajaan negeri amat menghargai kerjasama erat yang terjalin di antara kerajaan dan Gabungan Persatuan Cina Sabah dalam pelbagai bidang termasuk pendidikan, kebajikan masyarakat, kebudayaan dan pembangunan komuniti di negeri ini,” katanya. – Info X