Search

Kerjasama PBS-STAR akan dibincang secara rasmi dalam masa terdekat

November 16, 2023

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Parti Bersatu Sabah (PBS) dan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) mencapai kata sepakat untuk memulakan perbincangan rasmi bagi mewujudkan persefahaman dan kerjasama diantara kedua-dua parti berkenaan.

Perkara itu diumumkan dalam satu kenyataan bersama oleh Setiausaha Agung PBS, Datuk Julita Majungki dan Setiausaha Agung STAR, Datuk Edward Linggu.

“Perbincangan rasmi mengenai kerjasama ini adalah berdasarkan beberapa dasar-dasar termasuk menyahut seruan akar umbi yang ingin melihat kedua-dua parti menjalinkan kerjasama jitu dan mampan demi perpaduan rakyat berbilang kaum.

“Ia juga sebagai kesinambungan kepada cadangan yang menjurus kepada usaha berkenaan, sebelum PRN (Pilihan Raya Negeri) pada 2020 dan untuk memperkukuhkan lagi kekuatan serta sokongan kepada Gabungan Rakyat Sabah (GRS),” kata kenyataan itu.

Kata sepakat untuk memulakan perbincangan rasmi berkenaan dicapai dalam pertemuan di antara pemimpin kedua-dua parti semalam.

Kedua-dua parti telah memberi amanah kepada lima pemimpin untuk mewakili parti masing-masing dalam perbincangan itu.

PBS akan diwakili Julita, Ketua Penerangannya, Datuk Joniston Bangkuai, Ketua Pergerakan Wanitanya, Datin Malianah Ugau dan Ketua Pergerakan Pemudanya Christoper Mandut.

Manakala Parti STAR diwakili oleh Naib Presiden merangkap Pengarah Strategiknya Dr Paul Porodong, Edward, Ketua Penerangannya Datuk Jalumin Bayogoh, Ketua Pergerakan Wanitanya, Datuk Flovia Ng, dan Ketua Pergerakan Pemudanya, Kong Soon Choi.

“Mesyuarat rasmi pertama akan diadakan dalam masa terdekat,” kata kenyataan itu lagi. – Info X