KOTA KINABALU: Kerajaan negeri mahu operasi bersama antara pasukan dan agensi keselamatan negara terus dipertingkatkan bagi menangani pelbagai aktiviti jenayah di darat dan laut di Sabah.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, perairan Sabah yang luas dan panjang serta bersempadan dengan negara jiran, memberi cabaran kepada pasukan dan agensi keselamatan negara.
Menurutnya, keadaan itu menyebabkan pelbagai aktiviti jenayah rentas sempadan, termasuk aktiviti penyeludupan dadah, rokok dan barangan bersubsidi, selain isu pencerobohan nelayan asing dikesan di perairan negeri ini.
Bagaimanapun katanya, aktiviti itu dapat dipatahkan oleh pasukan dan agensi keselamatan negara termasuk oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), polis dan tentera.
“Saya berharap latihan bersepadu dalam operasi bersama antara pasukan dan agensi keselamatan negara terus dipertingkatkan pada masa akan datang, bagi menangani pelbagai aktiviti jenayah sama ada di darat dan laut di negeri ini.
“Bagi memacu ketersediaan aset dan kompetensi untuk melindungi dan mempertahankan kepentingan Zon APMM pada setiap masa, saya berharap melalui eksesais yang dilaksanakan, akan dapat meningkatkan lagi kecekapan APMM dalam membantu mengawal keselamatan di perairan negara khususnya di negeri ini.
“Ia kerana APMM adalah antara agensi yang mempunyai peranan penting dalam memelihara keselamatan perairan negara,” katanya ketika merasmikan Eksesais Maritim Perkasa Timur 2/2023 APMM di Sabah Port, di sini, hari ini.
Turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Maritim Malaysia, Laksamana Madya Datuk Hamid Mohd Amin.

Hajiji berkata, Kerajaan negeri amat menghargai usaha APMM dan bersedia memberi kerjasama dalam apa jua perkara dan menjadikan agenda utama dalam memastikan kedaulatan dan keselamatan negara khususnya Sabah terjamin.
Katanya, kerajaan negeri juga amat menghargai dan menyanjung tinggi pengorbanan serta kerja keras perwira-perwira APMM yang tidak mengenal erti penat lelah dalam menjalankan tugas.
Beliau berkata, Eksesais Maritim Perkasa Timur yang bermula pada 28 Oktober lalu hingga 04 November ini adalah eksesais gabungan elemen dalam mengukur kesiagaan dan keupayaan aset-aset APMM.
Menurutnya, ia juga untuk menguji kecekapan pegawai dan anggota terlibat dalam merancang, melaksanakan eksesais serta operasi sebenar pada masa akan datang disamping memperagakan kehadiran di Laut China Selatan khususnya di perairan Sabah.
“Eksesais itu juga berteraskan konsep elemen cegah rintang yang merupakan salah satu teras strategik maritim melalui pencegahan pelanggaran undangundang di laut dengan menunjukkan kehadiran aset-aset APMM di Zon Maritim Malaysia.
“Eksesais ini dilaksanakan merangkumi perairan Kota Kinabalu dan gugusan semarang peninjau di perairan Sabah, Beting Patinggi Ali, Hampasan Dang Ajar dan Beting Raja Jarum hingga ke Perairan Kuching di perairan Negeri Sarawak,” katanya.
Sementara itu, beliau yakin dengan gabungan sumber, keupayaan sedia ada dan koordinasi yang jitu, pelaksanaan eksesais itu akan berjaya membantu APMM mempertingkatkan keupayaan dan kecekapan sumber manusia serta kesiagaan aset-aset melindungi kepentingan Zon Maritim Malaysia.
“Selain akan terus memelihara kedaulatan negara khususnya di Laut China Selatan,” katanya. – Info X