Search

Kerjasama Yayasan Sabah, IJN tambah tenaga pakar kesihatan

July 30, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri mengambil inisiatif memperluaskan peluang pendidikan dalam bidang
penjagaan kesihatan menerusi kerjasama Yayasan Sabah dengan Institut Jantung Negara (IJN) dan Kolej Universiti IJN.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata menerusi kerjasama itu, seramai 30 anak Sabah akan dipilih mengikuti program pembangunan bakat dalam bidang penjagaan kesihatan pada tahun ini.

Katanya, ia merangkumi kursus Diploma Sains Perubatan dan Kesihatan, Diploma Fisioterapi serta Ijazah Sarjana Muda Sains Teknologi Kardiovaskular.

Beliau berkata, program berkenaan dilaksanakan hasil kerjasama strategik di antara Kumpulan
Yayasan Sabah, IJN dan Kolej Universiti IJN menerusi memorandum persefahaman (MoU) yang dimeterai pada April lalu.

“Inisiatif ini selaras dengan keperluan Sabah untuk menambah tenaga mahir dalam sektor kesihatan, selain membuka lebih banyak peluang kepada anak Sabah mengikuti latihan profesional dalam bidang kritikal yang mempunyai permintaan tinggi pada masa hadapan.

“Pada masa sama, seramai 15 anak Sabah kini sedang mengikuti Program Pembantu Perawatan Pesakit di Kolej Universiti IJN menerusi inisiatif yang diselaraskan Yayasan Sabah melalui University College Sabah Foundation (UCSF).

“Ia sekali gus memperluaskan akses kepada latihan kemahiran kesihatan yang berkualiti kepada anak Sabah,” katanya pada Majlis Anugerah Biasiswa Cemerlang Negeri Sabah Siri Ke-37, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, pada Khamis.

Hajiji berkata kerajaan negeri memperuntukkan lebih RM100 juta bagi membiayai Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah (BKNS) pada tahun ini yang memberi manfaat kepada ribuan pelajar pelbagai peringkat pengajian, khususnya dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

Katanya, peruntukan itu digunakan untuk menampung biasiswa pelajar sedia ada dan tajaan baharu 2026, membabitkan seramai 2,182 pelajar yang mengikuti pengajian di peringkat diploma, sarjana muda dan sarjana.

Beliau berkata, secara keseluruhan sehingga kini seramai 13,389 orang pelajar menerima tajaan BKNS sejajar komitmen kerajaan negeri memastikan lebih ramai anak Sabah memperoleh akses kepada pendidikan berkualiti.

“Kerajaan negeri sentiasa mengutamakan pembangunan pendidikan kerana ia adalah asas penting dalam melahirkan modal insan berilmu, berkemahiran dan berdaya saing,” katanya.

Hajiji yang juga Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Sabah berkata, BKNS turut menambah 10 penerima Anugerah Biasiswa Cemerlang Kerajaan Negeri Sabah tahun ini, menjadikan jumlah keseluruhan penerima anugerah itu seramai 60 orang.

Katanya, kerajaan negeri juga menawarkan beberapa skim biasiswa utama termasuk Biasiswa Anugerah Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah, Biasiswa Perdana, Biasiswa Cemerlang Kerajaan Negeri Sabah serta Biasiswa Program B40 dan Luar Bandar.

“Kumpulan Yayasan Sabah turut meningkatkan jumlah penerima Anugerah Biasiswa Cemerlang Negeri Sabah sebanyak 10 orang kepada 50 penerima tahun ini sebagai pengiktirafan terhadap kecemerlangan akademik pelajar Sabah,” katanya.

Hajiji berkata, kerajaan negeri turut menyediakan pelbagai bentuk bantuan pendidikan lain bagi meringankan beban pelajar dan keluarga berdepan peningkatan kos pendidikan.

Antaranya, beliau berkata, Biasiswa Cemerlang Kerajaan Negeri Sabah (BCKNS) yang memberi manfaat kepada 835 penerima dengan perbelanjaan keseluruhan RM141.29 juta dan Tabung Pendidikan Negeri Sabah (TPNS) yang dilancarkan pada 2022 berjaya membantu 15,629 penerima membabitkan peruntukan lebih RM25 juta.

“Selain itu, Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) melalui Bahagian Zakat dan Fitrah juga terus menyalurkan bantuan pendidikan kepada pelajar yang melanjutkan pengajian, termasuk bantuan yuran awal dan tiket penerbangan, dengan perbelanjaan lebih RM12.7 juta bagi tempoh Januari hingga Jun tahun ini”, katanya.

Beliau berkata, Pejabat Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Tugas-Tugas Khas) turut meneruskan 14 inisiatif pendidikan yang diperkenalkan sejak 2021, antaranya Bantuan Tunai Pendaftaran IPT Secara One-Off (BUDI), Bantuan Khas Peperiksaan (BAKTI), Bantuan Ihsan Komputer (BAIK), Subsidi Tiket Penerbangan Pelajar Sabah (SUBFLY) dan Sumbangan Mahasiswa Pengajian Tinggi Dalam Sabah (SENTOSA).

Hajiji juga menyifatkan peningkatan prestasi pendidikan berdasarkan keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 yang mencatat Gred Purata Negeri (GPN) 4.85 berbanding 5.00 pada tahun sebelumnya sebagai sesuatu yang positif memandangkan ia kali pertama Sabah merekodkan GPN di bawah paras 5.00. – Info X