KOTA KINABALU: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata beliau akan terus menuntut haknya melalui saluran yang sah walau apapun keputusan dibuat mahkamah berhubung kes 1MDB yang dikaitkan dengannya.
Najib yang diputuskan bersalah atas semua pertuduhan berkaitan kes 1MDB di Mahkamah Tinggi Putrajaya pada Jumaat, berkata beliau tetap yakin terhadap proses kehakiman negara.
“Saya akan terus menuntut hak saya melalui saluran yang sah, dengan maruah dan kesabaran, walaupun jalannya sunyi dan menuntut pengorbanan yang besar.
“Apa pun keputusan hari ini, saya tetap yakin kepada proses kehakiman negara,” katanya dalam perkongsian di akaun Facebook beliau selepas Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman 15 tahun penjara dan denda RM11.38 bilion pada Jumaat.
Hukuman itu dijalani selepas Najib selesai menjalani hukuman penjara bagi kes SRC yang dijadual tamat pada 2028.
Barisan peguam bekas Menteri Kewangan itu bagaimanapun menyatakan akan memfailkan rayuan terhadap keputusan berkenaan pada Isnin ini.
Menerusi perkongsian di Facebook beliau, bekas Ahli Parlimen Pekan itu turut memohon semua rakyat Malaysia agar kekal tenang, rasional dan berhemah serta tidak terpengaruh atau terlibat dalam sebarang provokasi yang boleh menjejaskan keharmonian awam atau menghina proses perundangan.
“Perbezaan pandangan harus dizahirkan secara matang, tertib dan berlandaskan undang-undang.
“Saya menyeru seluruh rakyat Malaysia agar menilai perkara ini dengan tenang dan rasional bukan semata-mata dari sudut nasib saya sebagai individu, tetapi demi masa depan institusi negara dan prinsip-prinsip yang kita junjung bersama,” katanya.
Dalam perkongsian yang sama, Najib turut meluahkan apa yang dirasainya ketika berdepan keputusan mahkamah berhubung kes 1MDB yang dihadapinya.
“Saudara dan saudari yang saya hormati. Saya menulis ini dengan fikiran yang tenang, meskipun hati saya berat.
“Ada ketika saya merasakan seolah-olah perjuangan ini harus saya pikul sendirian. Namun saya tetap bertekad untuk meneruskannya — bukan kerana dendam, tetapi kerana prinsip.
“Apa yang saya tuntut hanyalah hak yang diperuntukkan oleh undang-undang dan apa yang telah diperkenankan. Niat saya tidak pernah berubah: untuk menyumbang kepada pembangunan negara dan kesejahteraan rakyat.
“Perjuangan ini bukan usaha untuk mengelak daripada tanggungjawab. Ia adalah ikhtiar menegakkan keadilan, menjunjung integriti Perlembagaan, dan mempertahankan kedaulatan undang-undang yang dilaksanakan tanpa rasa takut atau pilih kasih,” katanya. – Info X