Search

KES COVID-19 DI SABAH KEMBALI TIGA ANGKA

June 17, 2022

admin

KOTA KINABALU: Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Masidi Manjun berkata, jumlah kes Covid-19 di Sabah kembali kepada tiga angka apabila sebanyak 115 kes baharu dicatatkan, hari ini.

Kali terakhir negeri ini mencatatkan jumlah kes baharu tiga angka ialah sekitar April lalu dan selepas itu jumlah kes konsisten berada di bawah paras 100.

Katanya, jumlah kes hari ini menunjukkan peningkatan sebanyak 16 kes berbanding 99 kes yang dicatatkan semalam.

Katanya, terdapat trend pertambahan jangkitan baharu di beberapa daerah termasuk daerah-daerah yang tidak mencatatkan sebarang jangkitan sebelum ini.

“Daerah Putatan yang tidak merekodkan sebarang jangkitan kelmarin mencatat 12 kes baharu hari ini, begitu juga di Tenom, Tambunan, Tawau, Kota Marudu dan Lahad Datu yang terkeluar daripada kumpulan ‘bebas jangkitan’ walaupun dengan jumlah kes baharu yang marginal.

Sementara itu, Tuaran dengan hanya satu kes kelmarin mencatatkan lapan kes baharu hari ini manakala Beaufort juga naik enam kes daripada dua kes sebelumnya kepada lapan kes,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Masidi berkata, Kota Kinabalu pula mencatat 41 kes baharu iaitu menurun 11 kes berbanding jumlah semalam dan Penampang mencatat angka jangkitan baharu yang lebih rendah iaitu dengan 12 kes.

Katanya, sebanyak 112 daripada 115 kes hari ini adalah dalam kategori 1 dan 2, manakala terdapat satu kes masing-masing dalam Kategori 3, Kategori 4 dan Kategori 5. – Info X