SANDAKAN: Mangsa terakhir yang hilang selepas terjun ke laut, Ahad lalu, berjaya ditemui nelayan kira-kira tiga kilometer daripada lokasi mangsa dilaporkan hilang, petang tadi.
Mangsa kanak-kanak perempuan berusia 6 tahun itu ditemui pada jam 5.44 petang di kawasan perairan Pulau Berhala.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berkata, pasukan bomba bersama agensi terlibat memulakan operasi pencarian yang memasuki hari ketiga pada jam 6.41 pagi tadi.
Katanya, operasi pencarian dijalankan meliputi radius pencarian sejauh 4 kilometer dari lokasi mangsa dilaporkan hilang.
“Mangsa ditemui oleh nelayan dan terus membawa mangsa ke jeti marin untuk diserahkan kepada pihak berkuasa.
“Keluarga mangsa mengesahkan identiti kanak-kanak perempuan terbabit sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, pasukan operasi seterusnya melakukan pemeriksaan akhir sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 8.30 malam.
Terdahulu, dalam kejadian jam 7 pagi Ahad lalu, tiga individu termasuk dua kanak-kanak hilang selepas terjun ke laut berhampiran Dewan Masyarakat Bandar, Jalan Costel, di sini.
Susulan kejadian itu, dua mangsa iaitu kanak-kanak lelaki berusia 6 tahun dan lelaki dewasa, 22, yang turut hanyut di bawa arus deras ditemui lemas.
Difahamkan, kejadian berpunca daripada tindakan seorang wanita warga asing yang terjun ke laut dengan membawa bersama dua anaknya.
Seorang lelaki berusia 22 tahun yang juga bapa saudara kanak-kanak terbabit cuba membantu namun hilang dipercayai dibawa arus deras, manakala, wanita terbabit berjaya diselamatkan orang awam. – Info X