Search

Kes pendakwaan 5 remaja: Ram Singh tegaskan hanya wakili satu

August 21, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Lima remaja yang didakwa mengikut Seksyen 507C (1) Kanun Keseksaan kerana mencela di Mahkamah Kanak-Kanak, di sini, semalam diwakili peguam bela masing-masing.

Peguam Datuk Ram Singh, berkata dakwaan di media sosial yang mengatakan beliau mewakili semua kelima-lima remaja terbabit adalah tidak benar.

Beliau menegaskan, pasukan guamannya hanya mewakili seorang daripada lima remaja terbabit sepanjang proses mahkamah bagi kes itu bermula semalam.

“Sebenarnya, tidak seharusnya cakap siapa, tapi saya mewakili hanya seorang. Kita tidak seharusnya menyebut nama, tidak seharusnya sebut tertuduh keberapa, sama ada satu, dua, tiga, empat atau lima.

“Tapi kita mewakili hanya satu saja, pasukan saya satu saja, malah satu, dua, tiga, empat, lima kita tidak boleh sebut mereka. Adalah lebih baik untuk cakap kita mewakili satu. Satu saja,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Info X, di sini, petang semalam bagi memberi penjelasan berhubung dakwaan orang ramai yang mengatakan Ram Singh selaku peguam yang dikenali di Sabah mewakili semua lima remaja terbabit.

Sementara itu, Ram Singh berkata, beliau bersama pasukan guamannya membuat keputusan mewakili seorang remaja terbabit atas dasar kepentingan tertuduh sebagai kanak-kanak.

“Berdasarkan Akta Kanak-Kanak, ianya wajib, mesti ada peguam yang mereka mahu lantik dan keluarga (remaja terbabit) melantik kami.

“Jadi kita melakukan pembelaan secara pro bono, ini bukan anak VVIP, jadi ia bukan berkaitan wang jutaan ringgit, tapi ia mungkin, saya tidak tahu, mengenai semangat untuk undang-undang.

“Jadi, kita bantu dan kita ada pasukan, bukan kita yang cari pelanggan, tapi mereka (keluarga) datang kepada kami dan kita tawarkan bantuan,” katanya.

Beliau berkata, mengikut Akta Kanak-Kanak, remaja terbabit mempunyai hak dan apa yang penting ia adalah kes yang membabitkan kanak-kanak.

Mengulas kaitan kes mahkamah itu dengan kes kematian Allahyarham Zara Qairina Mahathir sejak awal insiden itu berlaku, Ram Singh berkata pihaknya juga tidak tahu apa yang berlaku dan hanya membacanya di media sosial.

Beliau berkata, peranan pihaknya hanya bermula semalam setelah remaja terbabit dituduh di Mahkamah Kanak-Kanak.

“Peranan kita, ini adalah Mahkamah Kanak-Kanak, jadi ia bukan orang kena tuduh (OKT). Mahkamah Kanak-Kanak bermakna mereka adalah tertuduh di mahkamah atas pertuduhan yang dibacakan terhadap mereka tadi (semalam).

“Sebelum itu kita tidak terbabit, kita dilantik oleh keluarga dan kita lalukannya secara pro bono, mulai hari ini, itulah peranan kami

“Sebelum itu, sebenarnya kami juga tidak tahu, kami hanya membacanya di media sosial dan mengikut perintah larangan (gag order) kita tidak seharusnya bercakap apa yang berlaku dalam mahkamah,” katanya.

Semalam, Ram Singh memohon gag order daripada Hakim Elsie Primus yang mendengar prosiding pendakwaan lima remaja terbabit yang menghalang apa-apa yang disebut ketika prosiding itu daripada dibawa keluar.

Ram Singh berkata, beliau juga mahu tahu kebenaran mengenai kes itu, bukan setakat untuk menegakkan keadilan, kerana kedua-dua perkara berkenaan adalah sama penting. – Info X