Search

Kes pokok tumbang dilapor di beberapa daerah

August 30, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Ribut petir, hujan lebat dan angin kencang yang melanda beberapa daerah di Sabah menyebabkan kejadian pokok tumbang sekitar daerah terjejas, hari ini.

Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah dalam kenyataan memaklumkan pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pokok tumbang dan menggerakkan anggota ke kawasan berkenaan.

“Setakat ini 13 operasi dilaksanakan pihak bomba selepas menerima panggilan kecemasan seawal jam 11 pagi sehingga jam 6 petang.

“Kes terbabit termasuklah satu kes bagi BBP Ranau, Papar, Kota Belud, Sipitang, Kuala Penyu, Tuaran dan Sook.

“Dalam tempoh sama kita juga melaksanakan operasi mengalihkan pokok tumbang sebanyak dua kes di setiap daerah iaitu Putatan, Penampang dan Lintas,” katanya hari ini.

Pasukan bomba memotong dahan pokok yang tumbang.

Terdahulu, Jabatan Meterologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang di beberapa kawasan di negeri ini termasuk Sandakan, Telupid dan Beluran serta kawasan Pedalaman (Tambunan) dan Pantai Barat (Papar, Putatan, Penampang, Kota Kinabalu, Tuaran dan Kota Belud).

Amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 mm/jam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.

Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran. – Info X