Search

Kes rasuah ADUN: Pertuduhan bersifat peribadi, kerajaan GRS tetap berfungsi – Nizam

July 2, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Pertuduhan rasuah dihadapi dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang dikaitkan dengan kes pengeluaran lesen cari gali mineral dianggap bersifat peribadi dan tidak menjejaskan kedudukan kerajaan negeri.

Berikutan itu, Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, berkata mereka perlu dibiarkan melalui proses undang-undang secara telus dan adil.

Katanya, kerajaan negeri juga akan meneliti kedudukan kedua-dua ADUN terbabit setelah semua maklumat dan laporan lengkap diterima.

Beliau menegaskan keputusan mengenai tindakan terhadap mereka seperti disebut Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor sebelum ini bukan dibuat secara terburu-buru mengikut desakan politik.

Jelasnya, kerajaan negeri Gabungan Rakyat Sabah (GRS) tidak pernah menutup kesalahan atau melindungi mana-mana individu yang terbabit dalam salah laku.

“Tapi, pada masa yang sama, kita juga tidak akan membenarkan mana-mana pihak menjadikan kes ini sebagai alat untuk melemahkan kerajaan negeri yang sah, stabil dan sedang bekerja keras untuk rakyat.

“Biarlah mahkamah yang menentukan benar atau salah. Setiap individu berhak mempertahankan diri.

“Kita berpegang kepada prinsip kedaulatan undang-undang, kita wajib berpegang kepada prinsip bahawa seseorang itu tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah di mahkamah,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Isnin lalu, ADUN Sindumin, Datuk Dr Yusof Yacob yang juga Pengerusi Qhazanah Sabah dan ADUN Tanjung Batu, Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy dihadapkan di Mahkamah Khas Rasuah Kota Kinabalu atas pertuduhan menerima rasuah dalam kes pengeluaran lesen cari gali mineral.

Mereka masing-masing dituduh menerima rasuah RM200,000 dan RM150,000 daripada ahli perniagaan, Datuk Tei Jiann Cheing.

Jiann Cheing atau turut dikenali sebagai Albert Tei turut didakwa atas pertuduhan memberi rasuah sebanyak RM350,000 di mahkamah yang sama.

Nizam yang juga Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), berkata Hajiji yang juga Pengerusi GRS sudah menjelaskan pendirian kerajaan negeri yang tidak akan sesekali mencampuri sebarang siasatan atau pendakwaan terhadap mana-mana ADUN.

“Prinsip ini adalah bukti jelas bahawa kerajaan Sabah hari ini ditadbir berasaskan integriti, kebertanggungjawaban dan penghormatan terhadap undang-undang, bukan berdasarkan sentimen, tekanan politik, mahupun kepentingan individu,” katanya.

Nizam menegaskan walaupun berdepan tekanan berikutan kes terbabit, kerajaan negeri tetap berfungsi seperti biasa.

“Kami tidak akan goyah dengan cubaan menggugat kestabilan yang telah dibina. Fokus kami tetap kepada pembangunan, pelaburan dan kesejahteraan rakyat Sabah,” katanya. – Info X