Search

Kes rasuah Bung Moktar, isteri dikembali ke Mahkamah Sesyen

November 18, 2024

Info X Reporters

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan, di sini, hari ini memerintahkan kes rasuah membabitkan Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isterinya, Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad dikembalikan ke Mahkamah Sesyen untuk perbicaraan.

Berikutan itu, Bung Moktar dan Zizie yang sebelum ini dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi daripada pertuduhan rasuah RM2.8 juta membabitkan pelaburan RM150 juta FELCRA dalam unit amanah Public Mutual Berhad, perlu membela diri.

Keputusan itu selepas panel tiga Hakim Mahkamah Rayuan dipengerusikan Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim, bersidang bersama-sama Datuk Mohamed Zaini Mazlan dan Datuk Noorin Badaruddin membenarkan rayuan pendakwaan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi sebelum ini.

Memetik laporan Berita Harian, pihak pendakwaan sebelum ini merayu keputusan Mahkamah Tinggi pada 7 September tahun lalu, yang melepas dan membebaskan Bung Moktar dan Zizie selepas membenarkan permohonan mereka untuk menyemak keputusan Mahkamah Sesyen pada 2 September 2022 yang memerintahkan mereka membela diri. – Info X