Search

Kes seludup PATI : Reman 10 suspek termasuk enam pegawai imigresen tidak dilanjut

March 30, 2023

admin

TAWAU: Sepuluh individu termasuk enam pegawai imigresen yang disyaki terlibat dalam kes penyeludupan pendatang asing tanpa izin (PATI), di sini, dibebaskan selepas tahanan reman mereka tidak dilanjutkan, semalam.

Majistret Dzul Elmy Yunus mengeluarkan perintah itu selepas menerima permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah ini.

Difahamkan Bahagian Siasatan SPRM sudah melengkapkan siasatan dan pelepasan semua suspek dibuat mengikut Seksyen 49(2) Akta SPRM 2009.

Terdahulu, Jumaat lalu, lima pegawai Imigresen dan empat orang awam direman enam hari bermula 25 Mac lalu kerana disyaki ejen penyeludupan PATI melalui Lapangan Terbang Tawau.

Susulan itu juga, seorang lagi pegawai Imigresen ditahan selepas itu kerana dipercayai turut terlibat.

Semua pegawai Imigresen berumur 30 hingga 41 tahun itu masing-masing bertugas di Lapangan Terbang Tawau.

Mereka disyaki menerima wang suapan sehingga RM3,000 sebagai dorongan untuk melepaskan PTI yang menggunakan Mykad orang lain dan disiasat mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.

Seorang lagi pegawai Imigresen berumur 30 tahun direman enam hari bermula semalam hingga 3 April. – Info X