Search

Kes terbaharu pelajar jatuh di sebuah sekolah di Papar bukan akibat buli – Jabatan Pendidikan

July 17, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Tiada unsur jenayah atau buli dalam satu kes pelajar terjatuh yang dilaporkan berlaku di sebuah sekolah di Papar, baru-baru ini.

Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS) dalam kenyataannya pada Jumaat, berkata perkara itu berdasarkan siasatan awal pihak sekolah terhadap insiden itu.

Berikutan itu, jabatan berkenaan mengingatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan maklumat tidak sahih berhubung kejadian berkenaan.

“Siasatan awal pihak sekolah mendapati tiada unsur jenayah atau buli dalam kejadian ini.

“Orang ramai dinasihati agar tidak menyebarkan maklumat yang tidak sahih serta boleh mengganggu siasatan dan menjejaskan kesejahteraan mangsa, keluarga dan seluruh warga sekolah,” katanya.

Katanya, JPNS mengambil perhatian serius terhadap insiden itu dan pihak sekolah sudah mengambil tindakan segera dengan memberikan bantuan awal, memaklumkan pihak keluarga dan pihak polis.

Pihak sekolah juga, katanya mengawal kawasan kejadian bagi mengelakkan suasana panik, manakala mangsa sudah menerima pemeriksaan dan rawatan di hospital.

Mengenai keadaan mangsa, JPNS berkata berdasarkan laporan perubatan, mangsa tidak mengalami kecederaan serius dan kini berada dalam keadaan stabil.

“Kebajikan, keselamatan serta kesejahteraan emosi mangsa terus diberi perhatian melalui pemantauan berterusan.

“Sokongan psikososial dan emosi juga diberikan kepada mangsa dan warga sekolah yang terkesan,” katanya.

JPNS katanya akan memberikan kerjasama penuh terhadap proses siasatan yang sedang dijalankan pihak berkuasa.

Kenyataan dikeluarkan JPNS itu sekali gus mengesahkan insiden pelajar jatuh itu benar berlaku setelah khabar angin mengenainya mula tersebar di media sosial. – Info X