KOTA KINABALU: Majlis Media Malaysia (MMM) menegaskan wartawan mesti dapat menjalankan tugas dengan selamat dan tanpa sebarang gangguan daripada mana-mana individu yang tidak bertauliah.
Menerusi satu kenyataan, MMM menyifatkan gangguan dialami wartawan ketika membuat liputan inkues kematian Allahyarham Zara Qairina Mahathir pada Isnin sebagai membimbangkan.
Katanya, perkara itu yang dilaporkan Persatuan Wartawan Sabah (SJA) membahayakan keselamatan wartawan, menjejaskan laporan profesional dan mengelirukan orang awam.
“Menurut SJA, individu yang tidak bertauliah telah memasuki zon media, berdiri terlalu dekat dengan wartawan wanita, mengganggu liputan dan kemudian menjana keuntungan melalui siaran langsung tidak rasmi.
“Perkara ini membahayakan keselamatan wartawan, menjejaskan laporan profesional, serta mengelirukan orang awam,” katanya.
Sementara itu, MMM turut memandang serius perkembangan terkini berkaitan liputan kes arwah Zara Qairina berikutan membabitkan kanak-kanak.
Jelasnya, media mempunyai tanggungjawab yang lebih besar untuk memastikan laporan adalah tepat, beretika dan penuh kepekaan.
“MMM mengingatkan semua organisasi media dan pengamalnya bahawa kanak-kanak tidak boleh dijadikan bahan liputan sensasi, soal siasat yang melampau atau pendedahan yang boleh membawa kepada trauma atau bahaya tambahan.
“Dalam kes buli serta inkues yang melibatkan individu bawah umur, maruah, privasi dan keselamatan kanak-kanak mesti sentiasa diutamakan, selaras dengan hak mereka untuk mendapat perlindungan penuh di bawah Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611).
“Kami menggesa editor dan wartawan supaya mematuhi sepenuhnya kod etika kewartawanan dan prinsip perlindungan kanak-kanak, termasuk tidak menyiarkan butiran yang boleh mengenal pasti atau memberi stigma kepada mangsa dan keluarga,” katanya.
MMM menegaskan, laporan yang bertanggungjawab harus menekankan aspek keadilan dan kepentingan awam, bukan eksploitasi atau keuntungan.
“MMM menyeru semua media agar berlapang dada, berdisiplin dan profesional dalam melaporkan kes ini dan menegaskan bahawa kewartawanan beretika adalah satu-satunya jalan untuk melindungi golongan rentan serta menjaga integriti profesion kewartawanan,” katanya. – Info X