KOTA KINABALU: Ibu Allahyarham Zara Qairina Mahathir dijangka antara saksi yang akan dipanggil pada prosiding inkues bagi mengenal pasti punca kematian arwah Zara.
Memaklumkan perkara itu, peguam mewakili keluarga arwah Zara, Hamid Ismail berkata, semua yang dipanggil polis sebelum ini termasuk guru dan pelajar dijangka dipanggil sepanjang inkues itu pada September depan.
“Keluarga kalau datang, datanglah, tapi kami memohon ibunya. Ibunya akan datang sebagai saksi dan dipanggil,” katanya ditemui pemberita selepas prosiding sebutan inkues di Mahkamah Koroner, di sini, pada Isnin.
Terdahulu, Mahkamah Koroner menetapkan pendengaran inkues kematian Allahyarham Zara Qairina bermula pada 3 September depan.
Koroner Azreena Aziz menetapkan pendengaran pada 3 hingga 4 September, 8 hingga 12 September, 17 hingga 19 September dan 22 hingga 30 September.
Tarikh itu ditetapkan pada prosiding sebutan inkues yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya (TPR) dari Jabatan Peguam Negara (AGC) selaku pegawai pengendali yang diketuai TPR Mohd Fairus Johari dari AGC Putrajaya.
Beliau dibantu tiga TPR dari AGC Sabah iaitu TPR Dana Arabi Wazani, TPR Afiq Agoes dan TPR Dacia Jane Romanus.
Ketika prosiding, Mohd Fairus memberitahu Mahkamah Koroner seramai 195 deponen atau saksi dikenal pasti untuk inkues berkenaan.
Bagaimanapun, katanya jumlah yang dipanggil akan diteliti semula dan senarai baharu akan dimaklumkan kepada Mahkamah Koroner sebelum inkues bermula pada 3 September depan.
Sementara itu, di luar mahkamah, Hamid berkata pihaknya turut memohon kepada Koroner untuk menjadi interested party atau pihak yang boleh menyoal ketika sesi inkues berlangsung.
Katanya, beliau yang dibantu lima rakan guamannya termasuk Shahlan Jufri akan memohon perkara itu kepada AGC pada minggu ini.
“Kami telah memohon untuk menjadi pihak yang menyoal bagi membantu pendakwaan tetapi kami diarahkan untuk memohon secara rasmi. Jadi, kami akan memohon pada minggu ini.
“Sabah Law Society pula bertindak sebagai Watching Brief dan buat masa ini status kami juga adalah Watching Brief tetapi apabila permohonan diluluskan, status kami berubah kepada interested party
“Kami juga memohon agar diberikan semua dokumen yang ada di AGC yang mana akan dijadikan bukti dalam kes ini,” katanya. – Info X