Search

Kes Zara: Inkues kenal pasti punca kematian, unsur jenayah diadakan – Jabatan Peguam Negara

August 13, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Jabatan Peguam Negara hari ini memutuskan agar inkues dijalankan bagi menentukan punca dan sebab kematian Allahyarham Zara Qairina Mahathir.

Menerusi satu kenyataan, jabatan itu menjelaskan inkues berkenaan termasuk untuk mengenal pasti sama ada wujud unsur jenayah atau sebaliknya dalam kematian pelajar berkenaan.

Keputusan itu, katanya dibuat selepas meneliti laporan siasatan yang dikemukakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung kes itu pada Selasa.

“Setelah jabatan ini meneliti laporan siasatan yang telah dikemukakan oleh Polis Diraja Malaysia berhubung kes kematian Zara Qairina pada 12 Ogos 2025, Jabatan ini memutuskan agar inkues dijalankan selaras dengan peruntukan di bawah subseksyen 339(1) Kanun Tatacara Jenayah [Akta 593].

“Prosiding inkues ini bertujuan untuk menentukan punca dan sebab kematian termasuk mengenal pasti sama ada terdapat unsur jenayah atau sebaliknya dalam kematian Zara Qairina,” katanya.

Kenyataan itu menyebut, proses inkues akan dikendalikan di Mahkamah Koroner secara bebas dan telus mengikut peruntukan undang-undang. – Info X