KOTA KINABALU: Peguam yang mewakili keluarga Allahyarham Zara Qairina Mahathir memberi peringatan tegas kepada pempengaruh media sosial, khususnya di TikTok, supaya tidak menakut-nakutkan saksi atau menyebarkan cerita palsu berkaitan kes berkenaan.
Peguam keluarga Allahyarham Zara Qairina, Hamid Ismail berkata, terdapat saksi terutama pelajar yang enggan tampil kerana bimbang dengan ugutan netizen dan beberapa individu di media sosial.
“Saya menggalakkan orang ramai tampil kepada polis atau secara terus dengan saya. Kepada pempengaruh (influencers) jangan menakut-nakutkan saksi.
“Dalam mencari keadilan, jangan sampai memfitnah atau mengugut orang lain,” katanya ketika ditemui di luar perkarangan Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu, hari ini.
Hamid itu turut menegaskan himpunan solidariti untuk Zara tidak boleh dicemari dengan agenda politik kerana tujuan utamanya adalah menuntut keadilan bagi arwah.
“Kalau ada pihak mahu berpolitik, jangan suruh datang. Kita semua berkumpul untuk Zara, bukan untuk mana-mana parti politik,” katanya.
Beliau menambah, ibu arwah Zara berbesar hati dengan jaminan Perdana Menteri bahawa tiada sesiapa akan terlepas daripada tindakan undang-undang.
“Saya ada bercakap dengan ibu Zara, tentang isu ini, dan dia (Ibu Zara) sangat gembira serta memohon kepada semua saksi yang ada supaya tidak takut terutama kepada pelajar.
“Jangan takut tampilkan diri, kalau takut kepada polis, jumpa kami (peguam),” katanya. – Info X